
Sumber:http://autogasfleet.com
Birokrasi
didefinisikan sebagai satu konsep dalam bidang sosiologi dan sains politik yang
merujuk kepada satu cara perlaksanaan pentadbiran dan penguatkuasaan
undang-undang sah yang telah dibuat dalam sesebuah organisasi. Max Weber adalah
seorang ahli sosiologi yang banyak menyumbangkan mengenai birokrasi dan
ciri-ciri birokrasi yang dipraktikkan dalam sesebuah organisasi bagi mencapai
matlamat. Melalui pandangan yang diketengahkan oleh Weber, jelas bahawa
pentingnya birokrasi untuk menguruskan sumber manusia yang cekap dan seterusnya
mencapai matlamat organisasi. Melalui perjalanan sesebuah organisasi fokus
utama adalah pencapaian matlamat, justeru birokrasi penting seiring dengan perjalanan
sesebuah organisasi. Perkara inilah yang menunjukkan proses birokrasi sukar
untuk dihapuskan.
Proses
birokrasi sukar dihapuskan adalah kerana melihat kepada ciri penting yang
ditekankan dalam birokrasi iaitu kebertanggungjawapan (accountability). Ia
merujuk kepada satu identiti dalam birokrasi dan bertujuan mengenalpasti dengan
lebih tepat tanggungjawab dalam proses pembuatan keputusan. Hal inilah yang
menyebabkan organisasi memerlukan struktur birokrasi kerana tanggungjawab
proses pembuatan keputusan sangat dititikberatkan. Jika ditinjau dalam model
teori-teori organisasi yang lain, model teori tersebut mungkin juga lebih
banyak mengemukakan syarat-syarat penyusunan kerja dan produktiviti yang
fleksibel, namun dalam sesebuah organisasi yang memerlukan kebertanggungjawapan
yang tinggi dalam pembuatan keputusan, birokrasi adalah merupakan satu pilihan
yang lebih praktikal.
Proses
birokrasi sukar dihapuskan juga adalah kerana melihat kepada ciri kedua penting
yang ditekankan dalam birokrasi iaitu hierarki dan definisi tanggungjawab
adalah untuk membantu pengurusan tempat kerja yang tersusun. Lakaran prinsipal
terhadap semua tugas haruslah jelas dan harus disusun dalam bentuk hierarki.
Melalui hierarki dan spesifikasi tugas, kekuatan terhadap organisasi birokrasi
lebih kukuh kerana ia dapat memantapkan lingkungan kuasa yang ada pada jabatan,
program, unit kecil dan bagi setiap pekerja itu sendiri. Salah satu lagi
kelebihannya disini ialah setiap pekerja jelas serta memahami kerja dan tugas
harian yang patut dilakukan oleh mereka, tanpa perlu bergantung kepada arahan
untuk melakukan sesuatu tugas daripada pihak lain.
Proses
birokrasi sukar dihapuskan adalah kerana melihat kepada ciri ketiga penting
yang ditekankan dalam birokrasi iaitu penyediaan untuk kerja mestilah
berdasarkan kelayakan untuk penempatan pekerjaan di dalam organisasi. Dalam hal
ini, sudah menjadi kebiasaan dalam bidang perkhidmatan sosial seseorang pekerja
akan diberikan posisi dalam organisasi berdasarkan pendidikan profesional disamping
pengalaman yang pernah mereka lalui dalam jangka masa tempoh tertentu.
Pembahagian tugas adalah salah satu
perkara yang ditekankan melalui birokrasi. Dalam era globalisasi adakah proses
pembahagian tugas (division of labour) amat penting dalam struktur masyarakat?
Pada pandangan saya, proses pembahagian tugas (division of labour) amat penting
dalam struktur masyarakat. Proses ini jelas menunjukkan bahawa proses
pembahagian tugas dalam sistem birokrasi berbeza daripada pentadbiran tradisional
dan ia lebih kukuh dengan wujudnya proses yang lebih rasional kepada struktur
masyarakat yang semakin kompleks.
Pembahagian
tugas adalah merujuk kepada bidang kecekapan yang khusus. Hal ini berkaitan
dengan bidang kewajipan tugas yang ada pada seorang pekerja mahupun satu
bahagian, tujuannya adalah untuk menjalankan pelbagai fungsi yang merupakan
satu bahagian daripada proses pembahagian atau pengkhususan kerja yang
sistematik. Dalam menjalankan tugas yang pelbagai, organisasi birokrasi
membahagikan tugas pentadbiran menjadi bahagian yang mempunyai fungsi khusus
dan berbeza dengan fungsi bahagian lain. Pembahagian tugas ini perlulah jelas
bagi mencapai tindakbalas yang cekap di antara satu tugas kepada tugas yang
seterusnya dalam menyumbangkan hasil yang terbaik. Hal ini dapat dilihat dalam
struktur masyarakat kini yang mementingkan kualiti yang baik serta kepantasan
kerja.
Sebagai
contohnya dalam sesebuah organisasi, bahagian kewangan secara khususnya
berfungsi untuk membuat ramalan keperluan dana, mendapatkan dana untuk
organisasi, menguruskan dana tersebut dan memastikan dana digunakan dengan cara
terbaik, manakala bagi bahagian sumber manusia pula fungsi khususnya ialah
untuk melakukan pengambilan tenaga kerja, melaksanakan latihan dan pembangunan,
membuat penilaian prestasi dan sebagainya lagi yang berkaitan dengan sumber
manusia.
Oleh
yang demikian, walaupun sesetengah individu mempertikaikan mengenai birokrasi
yang mempunyai pelbagai karenah, namun ia adalah satu sistem yang baik kepada
pengurusan organisasi. Birokrasi dan organisasi merupakan 'organisma' dan
'analogi bawang' yang saling memerlukan dan bergantung untuk terus hidup dan
mencapai matlamat.
Roszairiey Binti Mohammad Ashri (P64778)