Friday 2 November 2012

Birokrasi: Kenapa sukar untuk dihapuskan?


Birokrasi didefinisikan sebagai satu konsep dalam bidang sosiologi dan sains politik yang merujuk kepada satu cara perlaksanaan pentadbiran dan penguatkuasaan undang-undang sah yang telah dibuat dalam sesebuah organisasi. Max Weber adalah seorang ahli sosiologi yang banyak menyumbangkan mengenai birokrasi dan ciri-ciri birokrasi yang dipraktikkan dalam sesebuah organisasi bagi mencapai matlamat. Melalui pandangan yang diketengahkan oleh Weber, jelas bahawa pentingnya birokrasi untuk menguruskan sumber manusia yang cekap dan seterusnya mencapai matlamat organisasi. Melalui perjalanan sesebuah organisasi fokus utama adalah pencapaian matlamat, justeru birokrasi penting seiring dengan perjalanan sesebuah organisasi. Perkara inilah yang menunjukkan proses birokrasi sukar untuk dihapuskan.
          Proses birokrasi sukar dihapuskan adalah kerana melihat kepada ciri penting yang ditekankan dalam birokrasi iaitu kebertanggungjawapan (accountability). Ia merujuk kepada satu identiti dalam birokrasi dan bertujuan mengenalpasti dengan lebih tepat tanggungjawab dalam proses pembuatan keputusan. Hal inilah yang menyebabkan organisasi memerlukan struktur birokrasi kerana tanggungjawab proses pembuatan keputusan sangat dititikberatkan. Jika ditinjau dalam model teori-teori organisasi yang lain, model teori tersebut mungkin juga lebih banyak mengemukakan syarat-syarat penyusunan kerja dan produktiviti yang fleksibel, namun dalam sesebuah organisasi yang memerlukan kebertanggungjawapan yang tinggi dalam pembuatan keputusan, birokrasi adalah merupakan satu pilihan yang lebih praktikal.
          Proses birokrasi sukar dihapuskan juga adalah kerana melihat kepada ciri kedua penting yang ditekankan dalam birokrasi iaitu hierarki dan definisi tanggungjawab adalah untuk membantu pengurusan tempat kerja yang tersusun. Lakaran prinsipal terhadap semua tugas haruslah jelas dan harus disusun dalam bentuk hierarki. Melalui hierarki dan spesifikasi tugas, kekuatan terhadap organisasi birokrasi lebih kukuh kerana ia dapat memantapkan lingkungan kuasa yang ada pada jabatan, program, unit kecil dan bagi setiap pekerja itu sendiri. Salah satu lagi kelebihannya disini ialah setiap pekerja jelas serta memahami kerja dan tugas harian yang patut dilakukan oleh mereka, tanpa perlu bergantung kepada arahan untuk melakukan sesuatu tugas daripada pihak lain.
Proses birokrasi sukar dihapuskan adalah kerana melihat kepada ciri ketiga penting yang ditekankan dalam birokrasi iaitu penyediaan untuk kerja mestilah berdasarkan kelayakan untuk penempatan pekerjaan di dalam organisasi. Dalam hal ini, sudah menjadi kebiasaan dalam bidang perkhidmatan sosial seseorang pekerja akan diberikan posisi dalam organisasi berdasarkan pendidikan profesional disamping pengalaman yang pernah mereka lalui dalam jangka masa tempoh tertentu.
        Pembahagian tugas adalah salah satu perkara yang ditekankan melalui birokrasi. Dalam era globalisasi adakah proses pembahagian tugas (division of labour) amat penting dalam struktur masyarakat? Pada pandangan saya, proses pembahagian tugas (division of labour) amat penting dalam struktur masyarakat. Proses ini jelas menunjukkan bahawa proses pembahagian tugas dalam sistem birokrasi berbeza daripada pentadbiran tradisional dan ia lebih kukuh dengan wujudnya proses yang lebih rasional kepada struktur masyarakat yang semakin kompleks.
Pembahagian tugas adalah merujuk kepada bidang kecekapan yang khusus. Hal ini berkaitan dengan bidang kewajipan tugas yang ada pada seorang pekerja mahupun satu bahagian, tujuannya adalah untuk menjalankan pelbagai fungsi yang merupakan satu bahagian daripada proses pembahagian atau pengkhususan kerja yang sistematik. Dalam menjalankan tugas yang pelbagai, organisasi birokrasi membahagikan tugas pentadbiran menjadi bahagian yang mempunyai fungsi khusus dan berbeza dengan fungsi bahagian lain. Pembahagian tugas ini perlulah jelas bagi mencapai tindakbalas yang cekap di antara satu tugas kepada tugas yang seterusnya dalam menyumbangkan hasil yang terbaik. Hal ini dapat dilihat dalam struktur masyarakat kini yang mementingkan kualiti yang baik serta kepantasan kerja.
          Sebagai contohnya dalam sesebuah organisasi, bahagian kewangan secara khususnya berfungsi untuk membuat ramalan keperluan dana, mendapatkan dana untuk organisasi, menguruskan dana tersebut dan memastikan dana digunakan dengan cara terbaik, manakala bagi bahagian sumber manusia pula fungsi khususnya ialah untuk melakukan pengambilan tenaga kerja, melaksanakan latihan dan pembangunan, membuat penilaian prestasi dan sebagainya lagi yang berkaitan dengan sumber manusia.
Oleh yang demikian, walaupun sesetengah individu mempertikaikan mengenai birokrasi yang mempunyai pelbagai karenah, namun ia adalah satu sistem yang baik kepada pengurusan organisasi. Birokrasi dan organisasi merupakan 'organisma' dan 'analogi bawang' yang saling memerlukan dan bergantung untuk terus hidup dan mencapai matlamat.

Roszairiey Binti Mohammad Ashri (P64778)