Monday 3 December 2012


TIDAK MUNGKIN ADIL BOLEH DIADAKAN SUNGGUHPUN DI BAWAH SISTEM DEMOKRASI.

Kejadian manusia itu memerlukannya hidup bermasyarakat. Seorang manusia tidak mungkin dapat menguasai alam bagi memenuhi pelbagai kehendaknya. Apabila hidup bermasyarakat, perlulah ada sekatan dari melakukan sesuatu dan kewajipan supaya melakukan sesuatu demi kesejahteraan masyarakat tersebut. Seperkara lagi ialah timbulnya keperluan untuk membuat keputusan berkaitan dengan kepentingan-kepentingan umum dalam masyarakat yang berkenaan. Dalam dunia hari ini, hal ini keseluruhannya diliputi oleh satu bentuk yang dinamakan demokrasi. Menurut Graham.K (1986) menjelaskan  demokrasi adalah dari bahasa Greek yang menunjukkan satu bentuk pemerintahan oleh sebahagian dari populasi "Demos" boleh merujuk kepada golongan kaya atau aristokrat, boleh juga merupakan satu pihak berkuasa rakyat, orang ramai atau orang bawahan. Dalam apa keadaan pun ia merujuk hanya kepada sebahagian dari populasi dan bukan kesemuanya. Hal ini berbeza dari keadaan sekarang sepertimana slogan demokrasi ialah kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat, yang kita fahami sebagai pemerintahan rakyat, oleh seluruh rakyat. Dari slogan ini dapat dilihat secara tersirat dua perkara memerlukan penerokaan iaitu kebebasan dan persamaan.
   Jika dilihat makna ‘seluruh rakyat  menurut  Tillman.F,  Berofsky. B &  O’Connor.J (1986) menjelaskan bahawa seluruh rakyat pada hakikatnya bukanlah setiap individu yang ada dalam populasi. Orang gila, kanak-kanak bawah umur dan penjenayah pada biasanya tidak termasuk dalam kumpulan seluruh rakyat itu. Ini tidak menepati fakta umum ‘seluruh rakyat’. Sungguhpun seluruh rakyat itu cuba dimaksudkan sebagai “semua mereka yang terlibat”, mereka yang disebutkan di atas tadi sebagai di luar dari kumpulan seluruh rakyat adalah sebenarnya terlibat oleh keputusan yang dibuat itu . Oleh itu cadangan memaksudkan seluruh rakyat sebagai semua mereka yang terlibat oleh sesuatu keputusan adalah tidak memadai secara deskriptif. Perubahan yang paling sesuai ialah dengan cara membuat persamaan seluruh rakyat dengan semua mereka yang terlibat dan memiliki ciri-ciri lain yang  melayakkan mereka untuk membuat keputusan yang memberi kesan kepada mereka. Ciri ini bolehlah merupakan sesuatu jenis kebolehan atau kelayakan. Kelayakan itu membolehkan rakyat yang berkenaan berpeluang menyertai proses membuat keputusan. Jika ia hilang kelayakan tersebut maka ia tidak berhak menyertai proses membuat keputusan walaupun keputusan itu kelak akan turut melibatkannya.

     Terdapat 2 jenis pemerintahan demokrasi yang seterusnya berkaitan dengan pemerintahan iaitu bagaimana ia dilaksanakan? Bagi sebuah negara moden dengan rakyat yang begitu ramai adalah kurang munasabah bagi pemerintahan rakyat itu secara “demokrasi langsung” iaitu keputusan dibuat oleh setiap mereka yang terlibat dan layak. Oleh itu sering diamalkan “demokrasi berperwakilan”, rakyat memilih wakil untuk membuat keputusan bagi pihak mereka. Hal ini juga menimbulkan masalah kerana seseorang itu boleh menjadi wakil rakyat sebab ia berkongsi pendapat dengan segolongan pengundi dan sekaligus menentang kepentingan segolongan pengundi atau rakyat yang lain. Seterusnya adakah tahap kawalan yang dilaksanakan oleh rakyat tentang keputusan yang dibuat oleh perwakilan itu munasabah untuk dianggap sebagai pemerintahan rakyat?
     Demokrasi di Malaysia jika dilihat berdasarkan adanya pemerintahan oleh rakyat melalui perwakilan secara pilihanraya umum setiap 5 tahun sekali, ahli-ahli parlimen membentuk dasar dan undang-undang, keputusan-keputusan itu dibuat berdasarkan majoriti, maka dapatlah dikatakan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi. Namun seperti yang dipersoalkan oleh Keith Graham dalam bukunya The Battle of Democracy, Conflict, Consensus and the Individual (1986), setakat manakah tahap kawalan yang dilaksanakan oleh rakyat tentang keputusan yang dibuat oleh perwakilan itu munasabah untuk dianggap sebagai pemerintahan rakyat? Di Malaysia, golongan parti pembangkang dan penyokongnya mempersoalkan beberapa perkara seperti Undang-undang Keselamatan Dalam  Negeri, Akta Rahsia Rasmi, Akta Polis, Akta Universiti dan Kolej Universiti dan sebagainya. Bagi kumpulan tersebut semua akta ini adalah mengekang rakyat dari bersuara mempersoalkan tindakan kerajaan yang dianggap tidak adil. Oleh itu undang-undang sebegini adalah zalim kerana telah menyekat kebebasan dan persamaan iaitu kebebasan bersuara menuntut keadilan dan persamaan hak bersuara pihak yang membangkang kerajaan atau pemerintah. Sedangkan kebebasan dan persamaan amatlah diutamakan dalam demokrasi. Hakikatnya undang-undang tersebut di atas kekal bertahan kerana Kerajaan Barisan Nasional yang memerintah menguasai lebih dari dua pertiga kerusi di Parlimen iaitu satu majoriti yang besar. Oleh itu pemerintah amat berkuasa membuat keputusan dan adalah dibimbangkan kerajaan akan boleh sahaja membuat keputusan yang tidak munasabah untuk dianggap sebagai pemerintahan rakyat. Jika ini berlaku, ertinya rakyat sudah hilang kawalan ke atas keputusan yang dibuat oleh perwakilan yang pada mulanya dipilih oleh rakyat sendiri.
   Persoalan di atas, bolehkah Malaysia dianggap tidak demokratik? Melihat keseluruh dunia, adalah sukar untuk mentafsirkan demokrasi. Adakah demokrasi negara Barat itu sebenarnya demokrasi atau dengan kata lain demokrasi di bahagian dunia yang lain itu bukanlah demokrasi. Saya tinggalkan persoalan ini kepada pembaca untuk membuat penilaian sendiri mengikut sudut pandangan masing-masing.


 Ismail Arul Raj bin Hj Amirudin.
P 64281.

No comments:

Post a Comment