Tuesday 4 December 2012

MENYINGKAP BAJET 2013

MENYINGKAP BAJET 2013

TEMA: MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT:                                     SEBUAH JANJI DITEPATI

Oleh:
Mohd Hadri Mohd Rifin
( P60655 )


(klik untuk paparan lebih jelas)


Terdapat banyak penilaian yang diberikan terhadap belanjawan kali ini.  Ada yang menyokong, tidak kurang juga yang tidak bersetuju.  Sebagai sebuah negara merdeka dan mengamalkan konsep kebebasan bersuara, persepsi dan kritikan tidak dapat dielakkan.  Namun lebih baik membuat pertimbangan dari sudut ilmiah agar tidak terpesong dalam membuat penaakulan.

Malaysia berada dalam mod pilihanraya.  Maka bajet yang dibentangkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 29 November lalu dikatakan bajet pilihan raya.  Suatu pernyataan tidak adil jika melihat belanjawan ini dari satu sudut sahaja.  Penambahan jumlah perbelanjaan dalam belanjawan 2013 menjadikan hutang negara berjumlah RM500 bilion.  Suatu angka yang paling besar dalam sejarah, iaitu lebih 54 peratus dari KDNK dan kurang 1 peratus dari kadar tertinggi yang ditetapkan oleh undang-undang iaitu 55 peratus.

Secara keseluruhannya, belanjawan 2013 dapat menjana permintaan terhadap penawaran iaitu melalui pemberian BRIM (Bantuan Rakyat 1Malaysia) 2.0, bonus kakitangan, bonus pesara tentera, baucar buku, rebat telefon 3G, diskaun PTPTN dan sebagainya.  Peruntukan ini dilihat sebagai satu mekanisme kebajikan dan mengutamakan rakyat. 

Selain itu, menurut Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan belanjawan 2013 sebagai seimbang dengan mengambil perhatian dan kepentingan semua lapisan masyarakat.  Belanjawan kali ini turut melibatkan golongan yang kurang mendapat perhatian kerajaan sebelum ini khasnya generasi baru dan muda selain masyarakat perniagaan, sejajar dengan perubahan dalam negara.  Belanjawan kali ini bukan sahaja memberi banyak manfaat kepada rakyat malah juga golongan usahawan serta korporat melalui beberapa inisiatif baru. http://www.sinarharian.com.my/nasional/taib-mahmud-bajet-2013-seimbang-1.90086

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop Nor Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan bahawa melalui belanjawan ini, ia dapat menangani masalah luar negara dan dapat memastikan pertumbuhan domestik kekal kukuh yang direka untuk memastikan negara  mempunyai kekuatan dalaman untuk mengimbangi kelemahan ekonomi global dan mampu kekal sebagai destinasi mesra pelaburan kepada pelabur asing dan domestik.  http://www.themalaysianinsider.com/mobile/bahasa/article/nor-mohamed-bajet-2013-iarkitekkan-untuk-tangani-masalah-luar-negara/

Belanjawan ini juga dilihat tidak mengetepikan kepentingan golongan berpendapatan pertengahan melalui penurunan kadar cukai pendapatan sebanyak satu peratus bagi individu berpendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 hingga RM50,000 dan program perumahan melalui Skim Rumah Pertamaku yang memberikan peluang untuk golongan ini memiliki rumah sendiri. 

Pelbagai inisiatif yang ditawarkan oleh pihak kerajaan melalui belanjawan 2013.  Namun terdapat beberapa elemen yang harus difikirkan secara mendalam iaitu berkenaan tentang subsidi telefon 3G yang mana mewujudkan bebanan kepada kumpulan yang tidak bekerja.  mungkin ramai yang boleh membeli telefon 3G, namun bagaimana pula dengan bayaran perkhidmatan?  Hal ini kerana kos bulanan untuk bil telefon 3G bukannya murah.  Hal ini akan meningkatkan ahli dalam senarai hitam bagi syarikat telekomunikasi tinggi dan menjadi bebanan kepada ibu bapa.  Dari sudut lain pula, belanjawan ini dilihat merangsang penyediaan perkhidmatan telekomunikasi secara khususnya dan bukan kepada kebajikan masyarakat secara umumnya.

Berkait tentang Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) pula, berlaku peningkatan cukai sehingga 15 peratus untuk tahun pertama dan kedua.  Bermakna, harga hartanah akan turut meningkat.  Pada kebiasaannya, spekulator tidak akan menunggu sehingga lima tahun untuk menjual hartanah.  Pembeli kedua terpaksa menyerap keuntungan dijana spekulator selain menerima kadar cukai RPGT 15 peratus.

Belanjawan 2013 dilihat tiada pengurangan cukai korporat.  Hal ini tidak dapat dielakkan kerana cukai korporat merupakan sumber utama pendapatan negara.  Kesannya, ia mengurangkan nilai persekitaran yang kompetitif berbanding negara jiran yang lebih memberikan persekitaran kompetitif kepada pelabur.  Dengan peraturan gaji minimum yang diumumkan May lepas, kos pengeluaran di Malaysia akan meningkat.  Hal ini menyebabkan majikan akan mengupah buruh murahan asing bagi tujuan mengurangkan kos pengeluaran.  Persoalannya sampai bilakah pergantungan buruh murahan asing?  Bagaimana pula dengan rakyat tempatan sebagai pekerja?.  Tambahan pula, tiada pengumuman tentang inisiatif penambahbaikan dalam pembangunan sumber manusia (HR)  bermakna semakin banyak syarikat akan memilih warga asing dalam menjana pengeluaran dan memberikan kesan yang buruk kepada rakyat Malaysia.  Hal ini akan menyebabkan masalah kemiskinan tidak dapat dikurangkan kerana jumlah pekerjaan yang ditawarkan adalah terhad dan terpaksa bersaing dengan warga asing.  Rentetan dari peristiwa tersebut, masalah sosial semakin meningkat (seperti mencuri, ragut dan sebagainya) bagi mendapatkan wang untuk menyara keluarga.

Melalui belanjawan 2013, perbelanjaan pengurusan lebih tinggi dari perbelanjaan pembangunan (RM202 bilion vs RM49.7 billion).  Nisbah 4:1 adalah tidak begitu baik bagi sebuah negara di penghujung era pembangunan.  Pertambahan dalam persekitaran ekonomi global yang kurang memberangsangkan, perbelanjaan pembangunan penting sebagai suntikan merancakkan pengeluaran seterusnya mensasarkan permintaan luar negara.

Berkait dengan defisit belanjawan pula, angka ini semakin meningkat dari tahun ke tahun.  Defisit belanjawan 2012 adalah 52.7 peratus, seterusnya meningkat kepada 54 peratus pada tahun 2013.  Tidak dinafikan bahawa 96 peratus pinjaman kerajaan adalah bersifat dalaman dengan menggunakan kemudahan deposit awam seperti KWSP, terbitan sukuk dan pinjaman bank-bank tempatan.  Namun ia umpama bahu bergalas beban berganti.  Tiada usaha mengurangkan pinjaman. 

Bebanan defisit mengganggu kemakmuran pertumbuhan.  Kadar faedah atas pinjaman besar bersifat eksponen.  Kerajaan perlu menanggung kadar faedah mencecah RM20 juta setahun yang mana jumlah ini sepatutnya boleh digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.  Negara Eropah seperti Perancis, Itali, Greek dan Sepanyol sedang mengalami krisis ekonomi yang lembap.  Pulangan dari pendapatan kerajaan tidak dapat menampung pinjaman dalam dan luar negara.  Defisit belanjawan mencecah lebih 100 peratus dari pendapatan.  Greek telah diisytiharkan muflis.  Itali, Sepanyol dan Perancis sedang berusaha untuk keluar dari kemelut kemelesetan ini.  Itali, Sepanyol dan Perancis boleh turut menerima nasib yang sama dengan Greek jika krisis ekonomi Eropah tidak pulih sepenuhnya. 

Malaysia perlu berada jauh dari beban hutang yang melilit jika ingin terus makmur.  Sebelum kemelesetan 1997, kadar tukaran wang asing Malaysia berbanding USD adalah sekitar RM2.50 bagi 1USD.  Semasa krisis, kadar tukaran asing mencecah hingga RM4.00 bagi 1USD, hingga kerajaan mengambil inisiatif mengikat apungan Ringgit pada paras RM3.80 bagi 1USD.  Namun pada keadaan ekonomi yang agak cerah hari ini, nilai Ringgit terhadap USD tidak dapat dikembalikan ke paras sebelum kemelesetan.  Walaupun semasa Amerika dan Eropah mengalami kemelesetan sekitar 2009 dan 2010, nilai ringgit terhadap USD tetap lemah.  Hal ini menandakan ekonomi Malaysia dirangsang oleh pasaran dalaman.  Sektor pembinaan, pengangkutan dan perkhidmatan adalah penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), namun masih tidak bersifat eksport sepenuhnya.  Bermakna ia masih tidak cukup kuat untuk berhadapan krisis ekonomi global atau krisis ekonomi Asia sekiranya berlaku sekali lagi.  Oleh itu, kerajaan harus membuat perancangan yang teliti dan mengambil perhatian secara meluas dengan mengambil kira aspek dalaman dan luaran negara bagi kesejahteraan rakyat dan negara.
 

No comments:

Post a Comment