Friday 4 January 2013

KUASA DAN AUTORITI





Kuasa merupakan ciri utama dalam sistem politik. Menurut Max Weber setiap masyarakat adalah berasaskan kuasa iaitu beliau mendefinisikan kuasa sebagai keupayaan untuk mencapai keinginan atau kehendak akhir walaupun ada tentangan oleh pihak lain. Dengan kata lain, kuasa politik bukan sahaja mengawal orang tetapi keupayaan untuk memutuskan bagaimana sumber-sumber masyarakat digunakan. Weber juga menyatakan bahawa kuasa ialah kesanggupan seseorang individu  atau kelompok untuk mencapai sesuatu, mengawal dan mempengaruhi tingkah laku pihak lain walaupun ia bertentangan dengan kemahuan pihak itu. Konsep kuasa ini berkait dengan kewibawaan seseorang atau autoriti seseorang. Autoriti adalah kuasa yang seseorang peroleh secara sah dalam sesuatu masyarakat atau sistem sosial. Autoriti disokong secara sosial dan bergantung pada kepercayaan bahawa orang yang mempunyai kewibawaan tadi mempunyai hak kepada kuasa yang ada padanya dan mereka yang tidak mempunyai autoriti mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi mereka yang ada. Weber telah membahagikan konsep autoriti ini kepada tiga iaitu autoriti tradisional, autoriti karismatik dan autoriti rasional legal.
        
     Autoriti tradisional merupakan kuasa yang ditetapkan melalui tradisi, adat resam dari generasi ke generasi yang diperturunkan contohnya dari raja ke raja, ketua agama ke ketua agama, pembesar ke pembesar dan sebagainya. Autoriti tradisional ini bergantung pada kepercayaan bahawa status pemegang kuasa itu adalah berkuasa sah kerana 'it always been that way'. Sebagai contohnya kuasa yang terdapat pada Maharaja China pada abad-abad yang lalu yang sememangnya disahkan oleh tradisi. Kuasa raja di Malaysia juga adalah berkait dengan konsep secara tradisional ini. Sumber kuasa tradisional ini adalah berdasarkan kepada mitos seperti kuasa yang diperturunkan oleh tuhan, berdasarkan mimpi contohnya tok batin mendapatkan  pengantaraan kuasa melalui mimpi. dan juga sumber dari agama melalui kitab.

     Autoriti karismatik pula merupakan kuasa yang disahkan oleh kebolehan sifat peribadi luar biasa yang menimbulkan kesetiaan dan ketaatan. Karismatik  autoriti bergantung pada personaliti seseorang yang menonjolkan kehebatannya sebagai contoh bijak berpidato, mempunyai personaliti yang tinggi dan mempunyai daya penarik sehingga membuatkan beliau sentiasa  dikagumi dan diiktiraf. Antara pemimpin yang berkarisma adalah seperti Hitler, John F. Kennedy, Mahatma Gandhi dan di Malaysia seperti Tun Dr. Mahathir Mohammad. Justeru, autoriti ini berasakan sifat peribadi yang luar biasa  dan istimewa. Pemimpin tersebut  mempunyai satu daya penarik yang tidak bersangkutan dengan peraturan atau status yang diwarisinya.

    Autoriti rational legal menurut Weber ialah kuasa yang disahkan secara peraturan dan digubal secara undang- undang. Hal ini bermakna autoriti rasional-legal wujud apabila terdapat undang-undang dan peraturan yang mengawalnya. Autoriti rasional legal muncul daripada jawatan yang dipegang bukan daripada keistimewaan yang ada pada seorang pemimpin. Konsep autoritinya adalah hampir sama dengan tradisional tetapi ia terdapat dalam masyarakat moden dan disahkan melalui undang-undang. Kuat kuasa rasional-legal ini mestilah diiktiraf mengikut sistem pengiktirafan moden yang dicipta oleh masyarakat moden. Kuasa ini disahkan dalam sistem kerajaan yang sah di sisi undang-undang yang  berteraskan kepada amalan demokrasi. Kewibawaan adalah berdasarkan 'culturally define rules' yang mengawal interaksi sosial. Ia bersifat birokratik iaitu kuasa disahkan oleh undang-undang. Ia akan hilang apabila individu ini keluar dari kedudukan tersebut. sebagai contohnya seorang presiden yang dipilih melalui pilihan raya akan keluar daripada kedudukannya sekiranya ia gagal untuk mendapat pengiktirafan dari segi undang-undang pada pilihan raya seterusnya.

Oleh: SUHAILA BT SULAIMAN  - P64365


Rujukan

Rohana Yusuf. 2010, Asas-Asas Sains Sosial Dari Perspektif Sosiologi. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Macionis, J.J. 2012. Sociology. Boston. Pearson.

No comments:

Post a Comment