Thursday 27 September 2012

POLITIK DAN PENGAWALAN KUASA



Politik merupakan salah satu daripada institusi sosial dalam mengekalkan susunan sosial. Hal ini melibatkan cara penggunaan kuasa bertujuan bagi mendapatkan kepatuhan pada sistem autoriti yang ada. Politik juga dapat dikelaskan sebagai satu perkembangan sosial iaitu kuasa akan diagihkan dan turut digunakan oleh kumpulan, organisasi dan masyarakat. Idea utama yang dapat dikaitkan adalah berkenaan dengan aspek sosial iaitu dalam mengekalkan keharmonian masyarakat dan memupuk jalinan melalui perlaksanaan undang-undang yang dipersetujui umum. Politik dalam Bahasa Arab disebut ‘Siyasah’ iaitu merujuk kepada mengurus, mengendali atau memimpin dengan hal ehwal keduniaan. Manakala definisi klasik menyatakan perkataan politik berasal daripada istilah Yunani iaitu ‘polis’ yang membawa maksud negara bandar.

Perlaksanaan politik terlebih dahulu memerlukan interaksi antara manusia berlaku dan aplikasi politik akan muncul. Hal ini menunjukkan bahawa manusia saling bergantung antara satu sama lain untuk menjalani kehidupan sama ada sebagai seseorang yang patut dicontohi ataupun sebagai anggota masyarakat dimana perpaduan dan kerjasama yang dicapai demi memajukan manusia itu sendiri. Apabila manusia hidup dalam satu organisasi, terdapat interaksi antara ahli dalam masyarakat maka wujud perkara yang dinamakan negara. Peraturan-peraturan yang telah ditetapkan supaya manusia hidup dalam keadaan terkawal dipanggil undang-undang. Individu dan institusi yang menentukan supaya peraturan dan undang-undang ini diikuti dipanggil kerajaan. Politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun istilah ini digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati dalam institusi korporat, akademik, agama, dan institusi lain. Aktiviti politik merupakan satu kegiatan yang timbul dari keinginan manusia mendapat kuasa supaya kehendaknya dapat dilaksanakan kepada orang lain dibawah kuasa yang dimiliki.

           Apakah yang dikatakan sebagai kuasa dan kenapakah kuasa perlu dikawal? Tokoh sosiologi iaitu Marx Weber menyatakan bahawa kuasa merujuk kepada kesanggupan individu atau kelompok untuk mencapai, mengawal dan mempengaruhi tingkah laku pihak lain walaupun bertentangan dengan kemahuan sesuatu  pihak. Manakala tokoh Karl Marx pula menyatakan bahawa kuasa adalah sebagai satu alat kelas pemerintah untuk mengekalkan penguasaan ke atas kelas yang lain dalam masyarakat. Perkara utama yang perlu ada untuk kuasa dilaksanakan adalah memerlukan pihak tertentu dan juga matlamat yang ingin dicapai. Pengawalan kuasa yang baik juga penting dalam membentuk keadilan dan kesamarataan dalam mencapai keputusan. Keadaan ini bersangkutan dengan keharmonian dan jalinan antara masyarakat.

       Pengawalan kuasa adalah agak sukar dicapai tetapi perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dibentuk. Melihat kepada pandangan tokoh terdahulu berkenaan kuasa, Marx memperkenalkan konsep perjuangan kelas yang menjadi pemangkin kepada kaum buruh iaitu merujuk kepada proletariat untuk bangkit mempertahankan hak dan kebebasan mereka dari terus ditindas oleh borjuis iaitu golongan atasan dalam melakukan kerja dan menikmati hasil. Dapat dilihat bahawa pihak pemerintah iaitu pihak atasan  menggunakan kuasa bertujuan menguasai pihak yang lain. Berdasarkan perkara yang berlaku, pelbagai persoalan berkenaan dengan pengawalan kuasa timbul. Justeru, pengawalan kuasa adalah perlu kerana berlakunya penyalahgunaan kuasa. Sebab utama hal ini berlaku kerana kehendak yang tidak terbatas dan juga kepentingan persendirian. Perkara kedua pentingnya pengawalan kuasa dapat dilihat melalui sejarah borjuis dan proleteriat berkenaan dengan diskriminasi yang berlaku. Golongan proleteriat dikerah bekerja melebihi had masa demi kepentingan pihak borjuis. Pengajaran melalui hal ini dapat dilihat bahawa kuasa terletak ditangan golongan borjuis dengan cara menindas golongan proleteriat. Eksploitasi juga berlaku kepada golongan ini, dimana hasil kerja yang dilaksanakan oleh golongan ploleteriat dirampas dan dinikmati oleh golongan borjuis.

       Sejarah yang telah berlaku memberikan pengajaran bahawa perlunya pengawalan kuasa dalam pemerintahan. Justeru, masyarakat telah sedar berkenaan kepentingan pengagihan kuasa yang baik akan menyumbangkan kepada keharmonian dan kesamarataan dalam sesebuah negara. Oleh yang demikian, konsep pembahagian kuasa diperkenalkan iaitu tertakluk kepada perlembagaan, undang-undang dan prinsip yang dipersetujui bersama. Realitinya jelas menunjukkan bahawa kuasa mutlak adalah tidak relevan digunakan dalam pemerintahan. 

-Normazarina Binti Zakaria
-P60660

No comments:

Post a Comment