Monday 1 October 2012

KERAJAAN DAN KEBAJIKAN


Kewujudan sesebuah negara begitu sinonim dengan politik dan masyrakat. Negara merujuk kepada komuniti politik yang tersusun dan sistematik. Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) mendefinisikan "negara" sebagai suatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sesebuah kerajaan, kawasan yang dibawah kekuasaan kerajaan tertentu dan segala yang berkaitan dengan negara. Ciri-ciri sesebuah negara ialah mempunyai pemerintah, rakyat, sempadan dan kedaulatan. Setiap negara memerlukan kerajaan untuk mengawal hal ehwal dalamannya, serta bagi menakluki kawasan kedaulatannya yang membolehkan penyaluran kuasa sesebuah kerajaan itu. Justeru itu, ia jelas menunjukkan kepentingan fungsi seebuah kerajaan dalam membentuk kestabilan sesebuah negara. Kerajaan dirujuk sebagai penggubal undang-undang, pentadbir, dan penimbang tara dalam birokrasi pentadbiran yang menguasai sesebuah negara, serta sistem pemerintahan yang digunakan untuk mengendalikannya. Pemerintahan ialah cara yang digunakan untuk menguatkuasakan dasar negara, serta juga mekanisme untuk menetapkan dasar negara.

            Bagi melihat dengan lebih jelas perkaitan antara kerajaan dan rakyat, ia boleh dikaitkan dengan teori fungsionalisme yang diperkenalkan oleh Emile Durkheim. Mengikut teori ini masyarakat berkembang dan stabil berdasarkan peraturan sosial dan perubahan semasa. Masyarakat diibaratkan sebagai satu organisma dan setiap organ mempunyai peranan yang tersendiri.  Ia meneliti fungsi perlakuan sosial atau institusi dalam kegiatan atau aktiviti yang menyumbang kepada penerusan masyarakat. Selain itu, penekankan diberikan terhadap kepentingan persefahaman dan kestabilan masyarakat. Perspektif teori ini turut melihat masyarakat sebagai satu sistem sosial yang berpadu dan berfungsi bagi mengekalkan keseimbangan sosial. Selain itu, teori fungsionalisme mengkaji bagaimana sistem sosial itu berfungsi bagi mengukur kejayaan sistem tersebut membawa kepada keharmonian dan keseimbangan masyarakat. 

            Setiap kerajaan mempunyai cara tersendiri dalam melaksanakan pemerintahan sama ada secara demokrasi, sosialis, dan lain-lain. Namun begitu, kemampuan sesebuah kerajaan itu dalam pemerintahannya sering diukur dari sudut kebajikan rakyatnya. Ia meliputi kadar kemiskinan, pendidikan, kesihatan dan sebagainya. Dalam hal ini kadar pendapatan negara negara sahaja tidak cukup bagi menggambarkan pertumbuhan negara meliputi setiap anggota masyarakat. Ini kerana setiap rakyat mempunyai latar belakang kehidupan dari sudut geografi, status sosial dan status ekonomi yang berbeza. 

Pentingnya bagi sesebuah kerajaan sebagai penggubal dan pelaksana dasar memikirkan cara yang paling efektif bagi melindungi rakyat kerana isu kebajikan berkait rapat dengan keharmonian dan kesejahtereaan negara. Mengapa? Kerana jenayah yang berlaku adalah berpunca daripada apabila wujudnya individu yang gagal menampung kos sara hidupnya sendiri serta tanggungannya. Ia juga tidak harus dilihat semata-mata kerana unsur devian yang wujud dalam seseorang individu itu yang membawa kepada tindakan jenayah seperti mencuri dan merompak. Tambahan pula, dalam kehidupan moden kini kos sara hidup sangat tinggi bukan sahaja di bandar-bandar besar malah mereka yang tinggal di kawasan pedalaman turut merasainya kerana kos pembiayaan pendidikan dan kenaikan harga barangan makanan dan keperluan lain turut meningkat dimana-mana sahaja.

            Sesebuah kerajaan yang ideal adalah meletakkan kebajikan sebgai fokus utama, kebajikan tidak boleh dilihat sebagai pemberian pemerintah semata-mata kepada rakyat. Hal ini kerana bermula daripada pemerintah yang membela kebajikan rakyat akan mampu memacu kepada pertumbuhan negara dalam semua aspek. Kebajikan juga bukan membawa maksud pemerintah memberi “derma” kepada rakayat seperti dalam bentuk bantuan kewangan, makanan dan seumpamanya. Ia lebih menjurus kepada bagaimana usaha kerajaan dalam membentuk rakyat yang mampu berdiri sendiri dalam menampung diri sendiri dan tanggungan dengan cara yang produktif dan mempunyai potensi dalam jangka masa panjang. Contohnya, dalam berdepan dengan masalah rakyat yang berada di bawah paras kemiskinan, bantuan kewangan bulanan semata-mata bukanlah jawapan bagi membantu mereka berterusan sehingga masa akan datang. Lebih memburukkan lagi keadaan ini akan meweujudkan kebergantungan rakyat terhadap pemerintah secara berterusan Seharusnya pendekatan “memberi” perlu diubah kepada “membangun”. Cara ini juga dapat mewujudkan hubungan dua hala yang lebih positif dalam memberi keuntungan terhadap kedua-dua pihak.       
 
Kebajikan juga dilihat bagaimanana sesebuah kerajaan membentuk rakyat yang bebas dari belenggu kemiskinan dan mampu hidup mewah agar turut menjaga kebajikan bersama. Ia tidak hanya cukup dengan penetapan cukai pendapatan, contohnya mengawal golongan yang berkemampuan menguasai bidang hartanah. Ia mungkin kelihatan pelik kerana di Malaysia ini setiap individu bebas mengumpul kekayaan selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang. Namun tanpa sedar kebebasan pemilikan hartanah ini sebenarnya membawa kepada kewujudan penempatan haram di bandar-bandar besar. Isu ini tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut status individu itu yang berpendapatan rendah sehingga tidak mampu memiliki tempat tinggal secara yang sah, ia juga perlu dilihat bagaimana dasar yang digubal yang membolehkan setiap individu mampu memiliki kediaman sediri kerana itu adalah keperluan asas dalam hidup.     
Huraian diatas dapat menunjukkan kerajaan yang ideal adalah kerajaan yang memberi perhatian serius terhadap kebajikan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan golongan miskin kerena golongan ini sering dipandang rendah dengan alasan tidak produktif dalam memacu pertumbuhan negara. Hakikatnya pertumbuhan ekonomi dan pembangunan fizikal semata-mata bukanlah pengukur sebenar kemajuan  dan kelestarian sesebuah negara.


Oleh : Halimatu Saadiah binti Ismail
            P67526

No comments:

Post a Comment