Monday 1 October 2012

OMBUDSMAN: PENAMBAHBAIK

Sebuah negara yang aman, harmoni dan stabil daripada semua aspek seperti ekonomi, pendidikan, sosial, politik dan sebagainya pastinya memiliki sebuah kerajaan dan corak pemerintahan yang bagus. Pemimpin yang berkaliber, amanah, adil dan bijak dalam menguruskan hal ehwal negara merupakan ciri-ciri yang menjadikan negara yang dinyatakan seperti di atas menjadi satu realiti. Tugas yang berat dalam urusan pentadbiran ini bukan hanya terletak dibahu seorang pemimpin sebuah negara itu sahaja sebaliknya tanggungjawab ini turut dipikul bersama para anggota perwakilan dalam melancarkan proses pentadbiran dan pemerintahan.
            Pihak kerajaan atau pemerintah akan melakukan sebaik mungkin dalam pemerintahan untuk memenuhi kehendak rakyat, hal ini kerana pemerintah yang diberi mandat oleh rakyat untuk menjadi ketua negara pastinya dipilih bertujuan membantu dan meringankan beban rakyat. Namun begitu, segala keinginan dan kehendak rakyat ini tidak dapat dipenuhi secara keseluruhannya ekoran pelbagai faktor antaranya ialah sistem pentadbiran yang melihat permasalahan rakyat secara keseluruhan tanpa melihat sesuatu aspek secara berkelompok atau menurut jumlah yang lebih kecil. Hal ini boleh dilihat melalui masalah kemiskinan dikawasan bandar sebagai contoh yang mana wujudnya perumahan setinggan di kawasan kediaman mewah atau kawasan bandar menjadi satu tanda tanya bagaimana perkara sebegini boleh wujud.
            Kerajaan haruslah menangani permasalahan yang timbul dengan menggunakan kaedah yang lebih efektif dengan mewujudkan satu agensi yang bertanggungjawab menerima aduan permasalahan daripada rakyat yang merangkumi pelbagai aspek serta agensi tersebut bertugas sebagai badan perantaraan antara rakyat dan juga pihak kerajaan atau pemerintah. Hal ini boleh dilihat di negara-negara yang mengamalkan sistem ombudsman.
            Ombudsman merupakan satu badan berkecuali yang tidak cenderung kepada mana-mana parti politik dan mempunyai kuasa yang mana ditubuhkan bertujuan menyelidik dan menerima aduan berkenaan masalah yang dihadapi oleh masyarakat atau individu. Setiap aduan akan dijalanakan siasatan dan akan memberi cadangan tindakan kepada pihak berkuasa dalam menangani isu yang dihadapi oleh masyarakat. Aduan berkenaan ketidakcekapan sistem pentadbiran sektor kerajaan dan swasta juga boleh dilakukan. Ombudsman telah banyak dijalankan di 76 buah negara  antaranya negara-negara kesatuan Eropah, Colombia, Costa Rica, German, India, Jepun, Sepanyol, Sri Langka manakala negara di rantau Asia Tenggara yang mengamalkan sistem ombudsman ini antaranya Thailand dan Filipina.
            Ombudsman ini mula diamalkan di negara Sweden namun konsep asal ombudsman diadaptasi daripada pemerintahan kerajaan Islam Turki yang dikenali sebagai konsep Qadi al-Qadat untuk melindungi hak-hak rakyat dan untuk mengelak berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh golongan pemerintah. Walaupun di negara kita wujudnya konsep pengaduan awam yang hampir sama dengan konsep ombudsman iaitu dikenali sebagai Biro Pengaduan Awam namun begitu masih banyak lagi kelemahan yang wujud buktinya  permasalah  bekalan air bersih, pembinaan kediaman terbengkalai, perkhidmatan di sektor awam yang perlahan dan sebagainya yang mana isu ini timbul sudah bertahun-tahun namun masih belum selesai.
            Sekiranya kerajaan negara ini mengamalkan sistem ombudsman ini pastinya masalah yang dihadapi akan boleh dikurangkan ekoran hanya satu sahaja agensi yang bertanggungjawab menerima aduan daripada masyarakat atau individu. Agensi ombudsman ini ditempatkan di setiap bangunan kerajaan atau jabatan kerajaan termasuklah universiti, sekolah, dikawasan yang menjadi tumpuan orang ramai  serta kaedah aduan secara online di portal ombudsman.        
            Ombudsman dijalankan bukanlah bertujuan untuk menampakkan kelemahan pihak pemerintah atau pihak kerajaan sebaliknya sebagai satu agen yang membantu memperbaiki kelemahan yang ada dalam pentadbiran dan menjadikan pentadbiran bertambah cekap. Cetusan idea daripada pihak ombudsman yang menjalankan penyelidikan dalam menyelesaikan masalah masyarakat secara tidak langsung berguna dalam menambahbaik serta mengenalpasti kelemahan yang mungkin terlepas pandang oleh pihak kerajaan. Ahli ombusman terdiri daripada mereka yang pakar dalam bidang masing-masing seperti ekonomi, sosiologi, undang-undang, psikologi dan sebagainya dan mereka merupakan golongan yang tidak menjurus kepada mana-mana parti politik maka masalah yang diadukan oleh masyarakat akan didengar tanpa sebarang pengaruh fahaman politik.
            Diharapkan pihak kerajaan bakal mewujudkan agensi ombudsman ini di negara kita demi menambahbaik sistem pentadbiran negara seiring dengan wawasan negara untuk mencapai negara maju menjelang tahun 2020 yang hanya kurang daripada  8 tahun sahaja lagi.

Nurmahfuzah Binti Razak
P67530

No comments:

Post a Comment