Monday 1 October 2012

PERANAN KERAJAAN DALAM MEMPERKASA WANITA


  Penglibatan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara sememangnya tidak dapat dinafikan. Jika dahulu wanita hanya dikaitkan dengan status suri rumah, tetapi segalanya telah berubah seiring dengan 54 tahun kemerdekaan yang dikecapi oleh negara. Isu deskriminasi wanita tidak lagi mencengkam kaum wanita pada hari ini. Wanita mula mongorak langkah mengharungi cabaran untuk memastikan kehadiran dan bakat mereka diiktiraf. Dengan kebanjiran tenaga kerja wanita serta meningkatnya pendapatan dan kekayaan kaum ini, maka peranan wanita semakin bepengaruh baik dalam hal rumah tangga, organisasi, serta negara. Peranan dan sumbangan wanita adalah penting dalam sama-sama berganding bahu dengan kaum lelaki dalam pembangunan negara.

   Sejak kemerdekaan, pemerkasaan kedudukan wanita telah berubah dengan pengenalan dasar yang membolehkan pembabitan mereka dalam kegiatan bersifat ekonomi,sosial dan politik. Dalam tiga tempoh Rancangan Malaysia iaitu RMKe-8, RMKe-9 dan RMKe-10 wanita telah memberikan sumbangan ketara bukan sahaja kepada pembangunan ekonomi malahan kepada pembangunan sosial negara. Dalam tempoh tersebut pelbagai usaha diambil dengan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi memastikan penyertaan wanita lebih berkesan dalam pembangunan negara. Wanita dilengkapkan dengan pakej sesuai supaya mampu bersaing dan serba boleh bagi menghadapi cabaran ekonomi berasaskan pengetahuan.

    Pada tahun 1985, Kerajaan Malaysia telah menyiapkan sebuah Dasar Kebangsaan untuk Wanita sebagai panduan bagi penglibatan para wanita di dalam proses pembangunan. Dasar tersebut boleh membantu meningkatkan taraf kehidupan wanita dengan menangani cabaran-cabaran melalui pendidikan dan penghapusan kemiskinan.  Rancangan-rancangan Malaysia seterusnya masih memberi perhatian kepada keperluan-keperluan wanita dengan cadangan untuk memajukan status mereka di dalam masyarakat. Pada tahun 2001, Kerajaan telah menubuhkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan diberikan mandat untuk mengendalikan isu-isu berkaitan dengan wanita di negara ini. Justeru itu, Perlembangaan Malaysia telah digubal semula pada Ogos 2001 yang melarang sebarang bentuk diskriminasi yang bersaskan gender di dalam mana-mana undang-undang.

   Antara tujuan kerajaan memperkasakan wanita adalah untuk memberi peluang kepada kaum wanita meningkatkan penyertaan dan peranan aktif sebagai penyumbang dan penerima faedah pembangunan negara. Selain itu, tujuannya adalah untuk memelihara hak-hak wanita secara adil dan berkesan. Namun terdapat cabaran-cabaran yang mungkin dihadapi pada masa hadapan yang patut diambil kira termasuklah mengetengahkan isu-isu seperti kemiskinan yang berterusan bagi rumah tangga di mana wanita merupakan ketua keluarga, menentang keganasan terhadap wanita, meningkatkan keberkesanan strategi-strategi yang mengutamakan gender, mengurangkan risiko daripada dijangkiti HIV, menghapuskan halangan-halangan yang disebabkan oleh sikap yang boleh membawa kesan kepada pembinaan kapasiti serta meningkatkan tahap penglibatan wanita di dalam pasaran buruh, perniagaan dan di dalam politik termasuklah kerajaan.  

    Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan untuk memperkasakan wanita di Malaysia, malah Kerajaan juga turut memberi pengiktirafan terhadap kaum wanita antaranya ialah Sambutan Hari Wanita. Sambutan Hari Wanita yang diadakan pada setiap tahun adalah tanda penghargaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap penglibatan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara kita. Di peringkat antarabangsa, pengiktirafan terhadap wanita bermula sejak beberapa persidangan penting khusus bagi kaum wanita yang diadakan dalam dekad 70-an. Persidangan-persidangan tersebut bertujuan untuk menggariskan strategi-strategi yang berkesan bagi meningkatkan dan memperbaiki status wanita dalam masyarakat serta menghapuskan ketidakseimbangan struktur masyarakat yang mengenepikan kepentingan wanita dalam aspek pembangunan.Seterusnya, pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan hak kesaksamaan kepada wanita telah mengukuhkan lagi pengiktirafan Kerajaan terhadap wanita.

    Malah Kerajaan telah mewujudkan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga bertujuan untuk  memastikan hak-hak wanita terbela. Matlamat KPWK adalah membentuk masyarakat yang sejahtera melalui perkongsian tanggungjawab yang strategik dan penyampaian perkhidmatan pembangunan sosial yang cekap dan berkesan. Oleh itu, terdapat beberapa strategi yang telah di bentuk antaranya ialah emastikan perspektif gender, keluarga dan kumpulan masyarakat diintegrasikan dalam penggubalan dasar dan perancangan serta pelaksanaan program. Menyebarkan maklumat mengenai kemudahan dan perkhidmatan yang terdapat di pelbagai agensi dan pertubuhan bagi membantu wanita, keluarga dan masyarakat mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan. Seterusnya, memantapkan penerapan nilai-nilai murni kekeluargaan di kalangan masyarakat melalui kerjasama erat dengan agensi-agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan serta Melaksanakan program penyelidikan dan pembangunan dalam bidang gender, kependudukan, pembangunan keluarga dan masyarakat bagi memperkenalkan pendekatan-pendekatan inovatif dalam perancangan dan pembangunan program.

     Kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan lagi penyertaan wanita di dalam pembangunan secara lebih berkesan, sistematik dan bermakna boleh diperlihatkan melalui beberapa usaha yang dilakukan. Memandangkan bahawa wanita memainkan peranan yang penting di dalam dan di luar rumah serta merupakan sumber ekonomi yang penting, matlamat kerajaan adalah untuk menjadikan wanita sebagai rakan yang sama penting dalam usaha membina negara. Oleh itu, tujuan kerajaan memperkasa wanita adalah perlu untuk mencapai pembangunan sosial, ekonomi dan politik. Sesungguhnya wanita di Malaysia benar-benar dibela, baik dari perspektif undang-undang mahupun aspek-aspek penting lain dalam kehidupan wanita dan kerajaan Malaysia sentiasa memastikan bahawa kedudukan tersebut tidak tergugat.

NIK NOR FARHANIS BT WAN DAUD (P60656)





.

No comments:

Post a Comment