Wednesday 3 October 2012

KEPENTINGAN DAN KEPERLUAN SUBJEK ANALISIS POLISI AWAM DALAM APLIKASI KEHIDUPAN SEBENAR


Dasar awam boleh ditafsirkan dengan berbagai-bagai maksud dan pengertian. Secara literalnya, dasar awam ialah apa juga projek, program atau rancangan daripada pihak kerajaan untuk faedah dan kepentingan satu kelompok rakyat. Dasar awam boleh didefinisikan antaranya, sebagai apa sahaja pemilihan kerajaan sama ada untuk membuat sesuatu atau tidak membuat sesuatu. (Dye, 1984). Manakala Prestus 1975 berpendapat bahawa dasar awam ialah sesuatu pilihan utama yang dibuat oleh seseorang individu atau sekumpulan individu bagi menjelaskan, menerang, mempertahankan, memimpin atau menggariskan sesuatu tindakan sama ada yang nyata atau bertujuan. Mengikut kamus Inggeris Oxford, dasar awam itu memberi maksud tindakan, keputusan dan peraturan badan-badan awam yang terdiri daripada ketua negara, ahli politik dan pentadbir kerajaan. Oleh yang demikian, terdapat satu identiti linguistik di antara orang awam dan dasar.

           Oleh itu, kita boleh menyatakan bahawa dasar awam merupakan apa sahaja keputusan dan tindakan kerajaan untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu untuk kemudahan masyarakat. Secara umumnya setiap keputusan yang diambil oleh kerajaan pastinya mempunyai objektif, matlamat dan tujuan untuk dijadikan sebagai panduan umum dalam mengatasi masalah sesebuah negara. Ini bermakna matlamat dasar mestilah jelas dan merupakan jalan penyelesaian terhadap sebahagian besar masalah rakyat ataupun kumpulan sasaran dasar tersebut. Contoh-contoh Dasar Awam di Malaysia ialah Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Negara, Dasar Wanita Negara, Dasar Pendidikan Negara, Dasar Persyarikatan, Dasar Penswastaan dan lain-lain lagi. Ini bermakna kepentingan dan keperluan subjek analisis polisi awam dalam aplikasi kehidupan sebenar dapat dibuktikan melalui politik, ekonomi dan sosial.

Semua dasar awam perlu berhubungkait dengan kegiatan dan peranan institusi politik. Institusi-institusi politik pula dianggap sebagai institusi rasmi kerajaan. Oleh yang demikian, institusi politik perlu ditinjau atau dikaji untuk mengetahui peranannya dalam pembentukan dasar awam. Tahap-tahap pembuatan dasar awam melibatkan institusi politik dan bertanggungjawab dalam memainkan peranan yang dinamik. Sesuatu dasar awam yang baru sememangnya dicadangkan, direkacipta, dibahasakan dan dilaksanakan oleh institusi-institusi politik. Contohnya Institutionalisme yang kerap kali digunakan untuk menerangkan fungsi dan peranan struktur-struktur formal serta pengawasan dan pengawalan yang dilakukan olehnya.

        Selain itu, legislatif merupakan antara jentera dalam amalan kerajaan demokrasi yang menggubal undang-undang dalam sesebuah negara. Mengikut Webstar’s Third New International Dictionary, dewan perundangan merupakan satu badan yang mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang. Khususnya ia merupakan satu organisasi yang mempunyai kewibawaan untuk membuat undang-undang bagi sesuatu unit politik. Walau bagaimanapun, antara satu negara dengan negara yang lain di dalam sesebuah negara moden pada hari ini tidak semua badan ini menjalankan fungsi yang sama. Ini bergantung kepada bagaimana perlembagaan negara itu dibentuk. Secara umumnya, badan legislatif mempunyai beberapa fungsi utama. A.Appadorai membahagikan fungsi badan legislatif kepada empat bahagian yang utama iaitu  menggubal undang-undang, pentadbiran, kewangan dan pengendalian ketidakpuasan. Ini menunjukkan bahawa subjek analisis polisi awam dapat menjelaskan pendekatan yang perlu digunakan dalam pembentukkan sesuatu dasar, terutamanya di Malaysia.

        Ekonomi adalah salah satu pendekatan dalam bidang sains sosial yang digunakan untuk melihat fenomena dunia secara menyeluruh. Ia juga satu kaedah bagi melihat bagaimana hubungan ekonomi dan politik yang berkait rapat dalam dunia yang begitu kompleks. Ekonomi yang wujud dapat dilihat dengan ketara merangkumi faktor-faktor pengeluaran, penggunaan buruh dan cara pengagihan dilakukan dengan melihat kepada peranan politik atau negara dan ekonomi yang juga disebut sebagai pasaran. Maka, ekonomi melihat ekonomi sebagai manisfestasi yang berlindung di bawah pelbagai polisi dan undang-undang yang ditetapkan oleh kuasa politik atau kerajaan.

            Perbincangan yang meluas mengenai ekonomi menghasilkan teori-teori seperti ekonomi klasik, neo-klasik, Keynesian, Marxist, neo-Marxist dan sebagainya. Kesemua teori ini mempunyai pandangan berbeza mengenai interaksi ekonomi dan politik serta aspek-aspek pengeluaran, pengagihan dan kekayaan. Menurut Adam Smith (1723-1790) di dalam The Wealth Of Nation, ekonomi adalah satu cabang sains kenegaraan di mana seseorang negarawan itu mempunyai tanggungjawab mencapai dua objektif, pertamanya memberi kekayaan yang banyak kepada rakyat dan pada masa yang sama menyumbang kekayaan kepada negara bagi membolehkan usaha meyediakan perkhidmatan awam yang mencukupi kepada warganegara.

         Seperti di Malaysia, Dasar Sosial Negara (DSN) adalah salah satu daripada bentuk dasar yang digubal untuk kepentingan pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai perpaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju dan mantap. Dasar ini memberi penekanan dalam  menjamin setiap individu, keluarga dan komuniti tanpa mengira kumpulan etnik, agama,budaya,gender dan fahaman politik serta wilayah dapat menyertai dan memberi sumbangan kepada arus pembangunan negara serta menikmati kesejahteraan hidup secara berterusan.


         Ini membuktikan bahawa pihak pentadbiran di Malaysia memberikan kesaksamaan dalam agihan setiap sumber yang ada untuk menjamin kesejahteraan rakyatnya. Dasar Sosial Negara merupakan dasar payung yang merangkumi falsafah dan pelbagai dasar pembangunan sosial negara. Dasar ini memberi halatuju kepada perancangan dan pelaksanaan program pembangunan sosial tersebut. Pelaksanaan dasar ini akan menjadi suatu agenda utama Kerajaan untuk mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang maju dan mapan menurut acuannya sendiri. Pelaksanaan Dasar Sosial Negara perlu dipantau bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan pencapaian pembangunan sosial. Kejayaannya bergantung pada komitmen, sokongan dan kerjasama sektor awam, swasta dan sukarela.


            Secara kesimpulannya, pada pendapat saya, subjek analisis polisi awam perlu dititikberatkan sebagai subjek khusus bagi setiap institusi pengajin tinggi sebagai salah satu subjek yang wajib dipelajari. Bukan sahaja dalam aspek politik, ekonomi, mahupun sosial tetapi dalam setiap isu yang berlaku di Malaysia. Subjek analisis polisi awam mengajar dan memberi peluang kepada orang awam dalam menilai sesuatu perkara atau isu yang berlaku di Malaysia. Pengetahuan yang ada menjadikan masyarakat semakin bijak dalam memilih pucuk pimpinan kerajaan dan membezakan yang mana baik dan buruk dalam sesuatu perkara sebelum menunding jari ke arah sesiapa. Malah dengan ilmu, masyarakat mampu bersuara lantang mengetengahkan pandangan dan bantahan dalam sama-sama membangunkan Malaysia.      

                                                                                       Disediakan Oleh:
                                                                                      (Wan Zainab Binti Wan Ahmad-P61626)

No comments:

Post a Comment