Monday 1 October 2012

Penambahbaikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025



Penambahbaikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025
Oleh Nyam Kee Han (P64275)

Perdana Menteri YAB Dato Seri Najib Abdul Razak telah melancarkan laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 – 2025 pada 11 September 2012. Perdana Menteri telah merumus bahawa pelan ini adalah bersifat komprehensif dan menyeluruh. Pelan ini boleh dikatakan sebagai satu lagi proses transformasi khususnya kepada pembangunan pendidikan di Malaysia. Secara seluruhannya, pelan ini menggunakan tiga fasa pembangunan, setiap fasa mengambil masa selama 4 tahun, meliputi lima aspek sasaran iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan. Sebelas anjakan yang digariskan oleh kementerian dan berhasrat untuk melahirkan pelajar yang memiliki 4 sifat utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, memimpin dan dwibahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

Mengikut matlamat pelan di atas, dapat melihat dengan jelas motif kerajaan yang bertujuan untuk mentranformasikan pendidikan di negara ini supaya kanak-kanak dapat bersaing dan bersedia bersaing di peringkat global nanti. Berdasarkan pemerhatian, pelan ini adalah bersifat elitisme dan managerislisme. Selain memberi penekanan dalam meningkatkan prestasi kanak-kanak dalam dwibahasa, pelan ini turut memberi penekanan yang agak tinggi kepada kualiti penguruan dan sistem pentadbiran di sekolah. Secara tidak langsung, kanak-kanak yang bakal dihasilkan melalui sistem pendidikan sebegini hanyalah segelintir elit sahaja. Dimana majoriti kanak-kanak akan disingkir secara langsung atau tidak langsung. Dimana mereka inilah yang cenderung melibatkan diri dalam masalah-masalah sosial. Pendidikan sebenar perlu memikir dan memberi penekanan yang lebih tinggi kepada kumpulan tersingkir ini.

Sistem pendidikan sememangnya perlu menanam sifat humanisme kepada generasi muda supaya mereka berupaya memikir isu-isu masyarakat sosial secara sosiologikal sejak sekolah lagi. Setiap hari, masyarakat dapat membaca pelbagai berita tentang kes-kes pembuangan dan pembunuhan bayi diri sendiri, kes rogol, bunuh diri, ‘percintaan’ dalam facebook sehingga mendatangkan malapetaka, penderaan bayi, pembantu rumah serta binatang, penjenayah, penipuan dan lain-lain lagi. Ini sebagai satu tanda bahawa isu-isu masyarakat sosial pada masa kini adalah semakin hari semakin mencabar dan begitu kompleks. Dalam masyarakat moden, generasi muda sekarang adalah jauh berbeza dengan zaman sebelum 70-an. Pada masa itu, walaupun masyarakat telah mengalami perubahan sosial akibat proses pembangunan, namun ia masih tidak sepantas pada zaman ini. Generasi muda sekarang awal-awal lagi telah menerima teknologi ringan mudah alih dan padat dimana mereka dapat menerima maklumat dengan begitu sedang dan cepat sekali melalui telefon bimbit, i-pad, i-phone dan sebagainya. Selain itu, mereka dapat melayani internet melalui perkhidmatan jalur lebar di premis-premis makanan segera, kafeteria dan juga kedai mamak. Tambahan dengan susu tepung yang mengandungi zat yang pelbagai bertujuan untuk membina minda dan otak, membina tulang serta fungsi tubuh yang lain. Jadi tidak hairanlah, anak-anak sekarang yang rata-rata lebih pandai dan mempunyai tubuh badan yang lebih besar. Bayangkanlah kanak-kanak berumur 2 hingga 3 tahun sekarang berupaya memain i-phone.

Oleh sebab kematangan mereka didewasakan sebelum masanya. Maka, mereka lebih cenderung dengan perasaan ingin tahu atau mencuba yang keterlaluan. Sifat itu merupakan salah satu isu yang mendorong mereka melakukan tingkahlaku devian yang melanggar norma nilai sosial masyarakat. Sekiranya permasalahan ini tidak diselesai dengan baik, risiko mereka menjadi penjenayah adalah tinggi sekali. Sebab itulah, pendidikan yang bersifat humanisme sebenarnya perlu dipupuk sejak peringkat awal persekolahan lagi. Pihak yang bertanggungjawab perlu mengunakan ‘kematangan’ mereka ini untuk memberi penekanan yang lebih tinggi dalam memupuk pendidikan yang bersifat humanisme kepada mereka. Tujuan supaya mereka dapat berfikir secara sosiologikal dan membina pemahaman tentang perhubungan mereka dengan institusi sosial seperti keluarga, kejiranan, komuniti, budaya, etniksiti, alam sekitar mahupun haiwan sejak awal sekolah lagi. Sedikit sebanyak dapat membuka minda mereka. Pendidikan tidak patut hanya tertumpu kepada pencapaian yang cemerlang dalam semua subjek mahupun guru-guru yang berkualiti tinggi dalam mengajar semua matapelajaran, tetapi bagaimana melalui pendidikan untuk melahirkan seorang insan yang benar-benar menjiwai tanggungkawabnya untuk mengekalkan perhubungan mereka dalam semua institusi sosial yang dinyatakan diatas.

Bayangkanlah apa yang akan terjadi jika kita sedikit sebanyak mula menekankan sifat-sifat humanisme dan berfikir secara sosiologikal di semua peringkat persekolahan? Adakah dengan cara itu kita dapat melahirkan generasi-generasi yang mempunyai pengetahuan mendalam dalam memahami tanggungjwab mereka dalam semua institusi sosial? Tidak kiralah sama ada pemahaman tentang isu keluarga, kejiranan, komuniti, budaya, etniksiti, alam sekitar mahupun haiwan. Melalui pemahaman yang mendalam, hormat-menghormati sesama masyarakat, komuniti serta alam sekitar dapat dijalinkan dengan erat. Jika semua generasi akan datang dapat berfikiran secara humanisme dan sosiologikal,  usaha ini pasti berupaya menyelesaikan masalah-masalah sosial dengan berkesan.  


No comments:

Post a Comment