Friday, 2 November 2012

Birokrasi: Kenapa sukar untuk dihapuskan?


Birokrasi didefinisikan sebagai satu konsep dalam bidang sosiologi dan sains politik yang merujuk kepada satu cara perlaksanaan pentadbiran dan penguatkuasaan undang-undang sah yang telah dibuat dalam sesebuah organisasi. Max Weber adalah seorang ahli sosiologi yang banyak menyumbangkan mengenai birokrasi dan ciri-ciri birokrasi yang dipraktikkan dalam sesebuah organisasi bagi mencapai matlamat. Melalui pandangan yang diketengahkan oleh Weber, jelas bahawa pentingnya birokrasi untuk menguruskan sumber manusia yang cekap dan seterusnya mencapai matlamat organisasi. Melalui perjalanan sesebuah organisasi fokus utama adalah pencapaian matlamat, justeru birokrasi penting seiring dengan perjalanan sesebuah organisasi. Perkara inilah yang menunjukkan proses birokrasi sukar untuk dihapuskan.
          Proses birokrasi sukar dihapuskan adalah kerana melihat kepada ciri penting yang ditekankan dalam birokrasi iaitu kebertanggungjawapan (accountability). Ia merujuk kepada satu identiti dalam birokrasi dan bertujuan mengenalpasti dengan lebih tepat tanggungjawab dalam proses pembuatan keputusan. Hal inilah yang menyebabkan organisasi memerlukan struktur birokrasi kerana tanggungjawab proses pembuatan keputusan sangat dititikberatkan. Jika ditinjau dalam model teori-teori organisasi yang lain, model teori tersebut mungkin juga lebih banyak mengemukakan syarat-syarat penyusunan kerja dan produktiviti yang fleksibel, namun dalam sesebuah organisasi yang memerlukan kebertanggungjawapan yang tinggi dalam pembuatan keputusan, birokrasi adalah merupakan satu pilihan yang lebih praktikal.
          Proses birokrasi sukar dihapuskan juga adalah kerana melihat kepada ciri kedua penting yang ditekankan dalam birokrasi iaitu hierarki dan definisi tanggungjawab adalah untuk membantu pengurusan tempat kerja yang tersusun. Lakaran prinsipal terhadap semua tugas haruslah jelas dan harus disusun dalam bentuk hierarki. Melalui hierarki dan spesifikasi tugas, kekuatan terhadap organisasi birokrasi lebih kukuh kerana ia dapat memantapkan lingkungan kuasa yang ada pada jabatan, program, unit kecil dan bagi setiap pekerja itu sendiri. Salah satu lagi kelebihannya disini ialah setiap pekerja jelas serta memahami kerja dan tugas harian yang patut dilakukan oleh mereka, tanpa perlu bergantung kepada arahan untuk melakukan sesuatu tugas daripada pihak lain.
Proses birokrasi sukar dihapuskan adalah kerana melihat kepada ciri ketiga penting yang ditekankan dalam birokrasi iaitu penyediaan untuk kerja mestilah berdasarkan kelayakan untuk penempatan pekerjaan di dalam organisasi. Dalam hal ini, sudah menjadi kebiasaan dalam bidang perkhidmatan sosial seseorang pekerja akan diberikan posisi dalam organisasi berdasarkan pendidikan profesional disamping pengalaman yang pernah mereka lalui dalam jangka masa tempoh tertentu.
        Pembahagian tugas adalah salah satu perkara yang ditekankan melalui birokrasi. Dalam era globalisasi adakah proses pembahagian tugas (division of labour) amat penting dalam struktur masyarakat? Pada pandangan saya, proses pembahagian tugas (division of labour) amat penting dalam struktur masyarakat. Proses ini jelas menunjukkan bahawa proses pembahagian tugas dalam sistem birokrasi berbeza daripada pentadbiran tradisional dan ia lebih kukuh dengan wujudnya proses yang lebih rasional kepada struktur masyarakat yang semakin kompleks.
Pembahagian tugas adalah merujuk kepada bidang kecekapan yang khusus. Hal ini berkaitan dengan bidang kewajipan tugas yang ada pada seorang pekerja mahupun satu bahagian, tujuannya adalah untuk menjalankan pelbagai fungsi yang merupakan satu bahagian daripada proses pembahagian atau pengkhususan kerja yang sistematik. Dalam menjalankan tugas yang pelbagai, organisasi birokrasi membahagikan tugas pentadbiran menjadi bahagian yang mempunyai fungsi khusus dan berbeza dengan fungsi bahagian lain. Pembahagian tugas ini perlulah jelas bagi mencapai tindakbalas yang cekap di antara satu tugas kepada tugas yang seterusnya dalam menyumbangkan hasil yang terbaik. Hal ini dapat dilihat dalam struktur masyarakat kini yang mementingkan kualiti yang baik serta kepantasan kerja.
          Sebagai contohnya dalam sesebuah organisasi, bahagian kewangan secara khususnya berfungsi untuk membuat ramalan keperluan dana, mendapatkan dana untuk organisasi, menguruskan dana tersebut dan memastikan dana digunakan dengan cara terbaik, manakala bagi bahagian sumber manusia pula fungsi khususnya ialah untuk melakukan pengambilan tenaga kerja, melaksanakan latihan dan pembangunan, membuat penilaian prestasi dan sebagainya lagi yang berkaitan dengan sumber manusia.
Oleh yang demikian, walaupun sesetengah individu mempertikaikan mengenai birokrasi yang mempunyai pelbagai karenah, namun ia adalah satu sistem yang baik kepada pengurusan organisasi. Birokrasi dan organisasi merupakan 'organisma' dan 'analogi bawang' yang saling memerlukan dan bergantung untuk terus hidup dan mencapai matlamat.

Roszairiey Binti Mohammad Ashri (P64778)

Sunday, 21 October 2012


GLOBALISASI MEMBAWA KEMAKMURAN

Noor Amira Binti Abdullah (P64296)

Golongan anti globalisasi sering menimbulkan pelbagai mitos mengenai globalisasi. Hampir segala perkara yang tidak mereka sukai mereka labelkan sebagai globalisasi. Disini saya cuba memberitahu bagaimana untuk menjawab mitos yang sering ditimbulkan, memberikan beberapa penerangan mengenai faedah globalisasi dan bagaimana globalisasi boleh membawa kemakmuran kepada Negara.

Mitos mengenai globalisasi

Mitos yang pertama ialah globalisasi meyebabkan standard penjagaan alam sekitaran dan standard tenaga buruh menjadi rendah. Satu kesilapan ialah apabila kita menyangka bahawa modal berpindah ke tempat yang mempunyai standard alam sekitar dan tenaga buruh yang paling rendah. Kita perlu memeriksa fakta. Pelabur melabur di tempat yang menghasilkan pulangan paling baik. Biasanya, ini bermaksud mereka mencari tempat yang mempunyai tenaga buruh paling produktif, di mana rakyat biasanya lebih kaya. Rakyat yang lebih kaya biasanya menuntut kualiti alam sekitar dan kualiti tempat kerja yang lebih baik, bukan lebih buruk. Ertinya, globalisasi tidak menyebabkan standard penjagaan alam sekitar dan standard buruh menjadi lebih rendah.

Mitos yang kedua ialah globalisasi membawa kepada homogenasi budaya Amerika ke seluruh dunia. Memang benar bahawa Amerika Syarikat menjadi tarikan kepada ramai pihak. Tapi, cuba kita fikirkan trend yang melanda dunia seperti Harry Porter daripada England, Pokemon dan Animie daripada Jepun, Bollywood daripada India dan banyak lagi budaya yang bukan daripada Amerika. Semua ini sebenarnya memperkayakan kita dan memperkayakan satu sama lain. Itu belum lagi disebut mengenai masakan Siam! Jika budaya disimpan dalam bekas kedap udara dan dihalang daripada berubah, maka ia bukan lagi budaya manusiawi. Sebaliknya, ia menjadi barang pameran muzium sahaja. Globalisasi sebenarnya memperkayakan budaya.

Mitos yang ketiga ialah globalisasi melahirkan ketidaksamaan. Keridaksamaan berlaku akibat daripada pelbagai faktor yang kompleks. Ada benarnya jika dikatakan bahawa globalisasi melahirkan ketidaksamaan kerana jurang antara negara-negara yang menyekat perdagangan dengan negara-negara yang mengamalkan ekonomi terbuka memang menjadi semakin besar. Tetapi ini bukan ketidaksamaan yang sering dimomokkan oleh penentang globalisasi. Hakikatnya, dalam negara-negara yang membuka ekonomi mereka untuk menerima perdagangan dan pelaburan, jumlah golongan pertengahan ( middle class ) semakin menigkat. Ini bermaksud jurang pendapatan menjadi semakin kecil, bukan semakin besar.

Faedah globalisasi

Faedah yang pertama ialah globalisasi membawa keamanan kerana ia menghilangkan insentif untuk berkonflik. Sekatan perdagangan diasakan kepada mentaliti dan polisi yang mempertekankan perbezaan kepentingan antara Negara. Sebaliknya, perdagangan bebas menghubungkan negara-negara secara aman. Ada pepatah yang mengatakan bahawa jika perdagangan tidak boleh merentas sempadan, maka tentera kan merentasinya.

Faedah yang kedua ialah perdagangan membawa faedah kepada semua. Kesilapan yang paling kerap diulang oleh penentang globalisasi ialah apabila mereka tersilap dalam memahami kelebihan mutlak (absolute advantage) dengan kelebihan komparatif (comparative advantage). Biarpun jika individu di hadapan saya lebih baik daripada saya secara mutlak dalam semua hal, dia dan saya masing-masing akan mendapat lebih banyak manfaat jika kami berdagang dia mengkhususkan pengeluaran barangan yang dia bolehkeluarkan dengan paling baik dan saya pula mengkhususkan pengeluaran barangan yang saya boleh keluarkan dengan paling baik. Perdagangan membolehkan kami mendapatkan barangan yang paling baik daripada satu sama lain.

Inilah juga sebabnya kenapa perdagangan boleh membawa kepada perdamaian. Melalui perdagangan yang bebas, manusia boleh melihat bahawa setiap individu manusia lain adalah rakan kongsi yang sama-sama mendapat faedah daripada kerjasama. Inilah yang menghasilkan masyarakat kemanusiaan, bukannya apabila manusia melihat satu sama lain sebagai persaingan. Perdagangan adalah batu asas kepada tamadun manusia.

Faedah yang ketiga ialah perdagangan, keterbukaan dan globalisasi mendokong kerajaan yang bertanggungjawab, demokratik dan mewujudkan keluhuran undang-undang. Bilangan negara-negara yang diiktiraf oleh Freedom House sebagai Negara demokratik meningkat selaras dengan runtuhnya sekatan perdagangan. Dikalangan 40 % Negara teratas dalam ranking Economic Freedom of the World 2002, 90 % diiktiraf sebagai bebas oleh Freedom House. Sebaliknya, di kalangan 20 % terbawah iaitu negara-negara yang ekonominya paling tertutup tidak sampai 20 % diiktiraf sebagai bebas. Malahan, lebih 50 % dikatakan tidak bebas oleh Freedom House.

Mexico ialah contoh yang baik. Pembukaan ekonomi Mexico melalui Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) membolehkan Vincente Fox menang dalam pilihanraya Presiden dan pecahnya monopoli kuasa oleh Institutional Revolutionary Party. Mereka yang mahukan keluhuran undang-undang dan mahukan kerajaan yang bertanggungjawab sepatutnya menyokong globalisasi.

Akhir kata, perdagangan adalah perkara yang unik buat manusia. Ia membezakan kita daripada binatang. Asas kepada perdagangan ialah kebolehan manusia berfikir dan kebolehan kita meyakinkan serta mempengaruhi orang lain. Adam Smith berkata dalam ucapan beliau pada 30 Mac 1763, “ The offering of a shilling, which to us appears to have so plain and simple a meaning, is in reality offering argument to persuade one to do so and so as it is for his interest”. Perdagangan bukan sahaja satu keunikan manusia, ia juga satu keunikan tamadun manusiawi. Saya rasa dengan globalisasi ini Negara akan lebih makmur dan sejahtera.



Sunday, 14 October 2012

NEGARA DAN KERAJAAN IMPIAN


Sebuah negara yang aman dan membangun lahir daripada keadaan politik yang stabil, pertumbuhan ekonomi yang mantap dan keadaan sosial yang terkawal. Ketiga-tiga elemen ini sangat penting dalam membentuk sebuah negara yang aman dan tenteram. Dalam membentuk sesebuah negara yang merdeka politik memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju sesebuah negara. Politik juga seringkali dikaitkan dengan kuasa dan kepatuhan pada sistem autoriti yang diwujudkan.

Bagi rakyat, mereka mengimpikan sebuah kerajaan yang mampu mengekalkan keamanan dan dapat membangunkan sebuah negara ke tahap yang lebih baik terutama dari segi ekonomi, infrastruktur, peningkatan taraf hidup rakyat dan jaminan keselamatan serta mendapat kebebasan dalam menjalani kehidupan seharian. Dalam amalan demokrasi perkara-perkara ini dilihat antara faktor pemilihan sesebuah kerajaan oleh rakyat.

Banyak definisi negara diberikan oleh tokoh-tokoh pemikir barat dalam menjelaskan tentang negara dan kerajaan. Namun secara umumnya kerajaan merujuk kepada suatu organisasi kompleks atau institusi yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan urusan pentadbiran dan pemerintahan bagi memastikan keberkesanan orde dalam sesebuah masyarakat. Menurut Sity Daud dalam tulisannya bertajuk ‘Negara, pemerintah dan perkembangan sistem politik’ menyatakan kerajaan adalah suatu badan yang terdiri daripada ketua negara dan sejumlah menteri untuk mengendalikan pemerintahan sebuah negara manakala negara pula bermaksud wilayah yang wujud masyarakat politik yang berorganisasi dengan jentera kerajaan. Ini menunjukkan negara, kerajaan dan politik saling berkaitan dalam membincangkan tentang sebuah kerajaan atau negara.

Bagi Max Weber dalam buku ‘Politic as a Vocation’ setiap negara wujud hasil penggunaan kekerasan....Jika tiadanya institusi sosial ganas yang wujud konsep ‘negara’ tidak membawa maksud dan keadaan yang diberi nama ‘anarki’ akan timbul. Maka  menurut Weber negara adalah satu komuniti manusia yang dengan jayanya mendapat pengiktirafan penggunaan kekerasan dalam satu kawasan. Dalam definisi ini dia mencerminkan pendapat Thomas Hobbes yang mengatakan penguatkuasaan Leviathan akan mencegah kematian yang ganas.

Dalam konteks negara di Malaysia, keharmonian dan pembangunan pesat yang dinikmati kini mencerminkan kecekapan kerajaannya memerintah dan mentadbir negara. Malaysia mampu pergi dengan lebih jauh lagi jika pemerintahnya bijak dan cekap dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Walaupun mempunyai rakyat dari pelbagai lapisan bangsa agama dan budaya namun Malaysia tetap mampu mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam masyarakatnya dengan formulanya yang tersendiri.


NORRULAZLIN BINTI AHMAD KHARIRY
 P64286

Wednesday, 3 October 2012

KEPENTINGAN DAN KEPERLUAN SUBJEK ANALISIS POLISI AWAM DALAM APLIKASI KEHIDUPAN SEBENAR


Dasar awam boleh ditafsirkan dengan berbagai-bagai maksud dan pengertian. Secara literalnya, dasar awam ialah apa juga projek, program atau rancangan daripada pihak kerajaan untuk faedah dan kepentingan satu kelompok rakyat. Dasar awam boleh didefinisikan antaranya, sebagai apa sahaja pemilihan kerajaan sama ada untuk membuat sesuatu atau tidak membuat sesuatu. (Dye, 1984). Manakala Prestus 1975 berpendapat bahawa dasar awam ialah sesuatu pilihan utama yang dibuat oleh seseorang individu atau sekumpulan individu bagi menjelaskan, menerang, mempertahankan, memimpin atau menggariskan sesuatu tindakan sama ada yang nyata atau bertujuan. Mengikut kamus Inggeris Oxford, dasar awam itu memberi maksud tindakan, keputusan dan peraturan badan-badan awam yang terdiri daripada ketua negara, ahli politik dan pentadbir kerajaan. Oleh yang demikian, terdapat satu identiti linguistik di antara orang awam dan dasar.

           Oleh itu, kita boleh menyatakan bahawa dasar awam merupakan apa sahaja keputusan dan tindakan kerajaan untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu untuk kemudahan masyarakat. Secara umumnya setiap keputusan yang diambil oleh kerajaan pastinya mempunyai objektif, matlamat dan tujuan untuk dijadikan sebagai panduan umum dalam mengatasi masalah sesebuah negara. Ini bermakna matlamat dasar mestilah jelas dan merupakan jalan penyelesaian terhadap sebahagian besar masalah rakyat ataupun kumpulan sasaran dasar tersebut. Contoh-contoh Dasar Awam di Malaysia ialah Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Negara, Dasar Wanita Negara, Dasar Pendidikan Negara, Dasar Persyarikatan, Dasar Penswastaan dan lain-lain lagi. Ini bermakna kepentingan dan keperluan subjek analisis polisi awam dalam aplikasi kehidupan sebenar dapat dibuktikan melalui politik, ekonomi dan sosial.

Semua dasar awam perlu berhubungkait dengan kegiatan dan peranan institusi politik. Institusi-institusi politik pula dianggap sebagai institusi rasmi kerajaan. Oleh yang demikian, institusi politik perlu ditinjau atau dikaji untuk mengetahui peranannya dalam pembentukan dasar awam. Tahap-tahap pembuatan dasar awam melibatkan institusi politik dan bertanggungjawab dalam memainkan peranan yang dinamik. Sesuatu dasar awam yang baru sememangnya dicadangkan, direkacipta, dibahasakan dan dilaksanakan oleh institusi-institusi politik. Contohnya Institutionalisme yang kerap kali digunakan untuk menerangkan fungsi dan peranan struktur-struktur formal serta pengawasan dan pengawalan yang dilakukan olehnya.

        Selain itu, legislatif merupakan antara jentera dalam amalan kerajaan demokrasi yang menggubal undang-undang dalam sesebuah negara. Mengikut Webstar’s Third New International Dictionary, dewan perundangan merupakan satu badan yang mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang. Khususnya ia merupakan satu organisasi yang mempunyai kewibawaan untuk membuat undang-undang bagi sesuatu unit politik. Walau bagaimanapun, antara satu negara dengan negara yang lain di dalam sesebuah negara moden pada hari ini tidak semua badan ini menjalankan fungsi yang sama. Ini bergantung kepada bagaimana perlembagaan negara itu dibentuk. Secara umumnya, badan legislatif mempunyai beberapa fungsi utama. A.Appadorai membahagikan fungsi badan legislatif kepada empat bahagian yang utama iaitu  menggubal undang-undang, pentadbiran, kewangan dan pengendalian ketidakpuasan. Ini menunjukkan bahawa subjek analisis polisi awam dapat menjelaskan pendekatan yang perlu digunakan dalam pembentukkan sesuatu dasar, terutamanya di Malaysia.

        Ekonomi adalah salah satu pendekatan dalam bidang sains sosial yang digunakan untuk melihat fenomena dunia secara menyeluruh. Ia juga satu kaedah bagi melihat bagaimana hubungan ekonomi dan politik yang berkait rapat dalam dunia yang begitu kompleks. Ekonomi yang wujud dapat dilihat dengan ketara merangkumi faktor-faktor pengeluaran, penggunaan buruh dan cara pengagihan dilakukan dengan melihat kepada peranan politik atau negara dan ekonomi yang juga disebut sebagai pasaran. Maka, ekonomi melihat ekonomi sebagai manisfestasi yang berlindung di bawah pelbagai polisi dan undang-undang yang ditetapkan oleh kuasa politik atau kerajaan.

            Perbincangan yang meluas mengenai ekonomi menghasilkan teori-teori seperti ekonomi klasik, neo-klasik, Keynesian, Marxist, neo-Marxist dan sebagainya. Kesemua teori ini mempunyai pandangan berbeza mengenai interaksi ekonomi dan politik serta aspek-aspek pengeluaran, pengagihan dan kekayaan. Menurut Adam Smith (1723-1790) di dalam The Wealth Of Nation, ekonomi adalah satu cabang sains kenegaraan di mana seseorang negarawan itu mempunyai tanggungjawab mencapai dua objektif, pertamanya memberi kekayaan yang banyak kepada rakyat dan pada masa yang sama menyumbang kekayaan kepada negara bagi membolehkan usaha meyediakan perkhidmatan awam yang mencukupi kepada warganegara.

         Seperti di Malaysia, Dasar Sosial Negara (DSN) adalah salah satu daripada bentuk dasar yang digubal untuk kepentingan pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai perpaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju dan mantap. Dasar ini memberi penekanan dalam  menjamin setiap individu, keluarga dan komuniti tanpa mengira kumpulan etnik, agama,budaya,gender dan fahaman politik serta wilayah dapat menyertai dan memberi sumbangan kepada arus pembangunan negara serta menikmati kesejahteraan hidup secara berterusan.


         Ini membuktikan bahawa pihak pentadbiran di Malaysia memberikan kesaksamaan dalam agihan setiap sumber yang ada untuk menjamin kesejahteraan rakyatnya. Dasar Sosial Negara merupakan dasar payung yang merangkumi falsafah dan pelbagai dasar pembangunan sosial negara. Dasar ini memberi halatuju kepada perancangan dan pelaksanaan program pembangunan sosial tersebut. Pelaksanaan dasar ini akan menjadi suatu agenda utama Kerajaan untuk mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang maju dan mapan menurut acuannya sendiri. Pelaksanaan Dasar Sosial Negara perlu dipantau bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan pencapaian pembangunan sosial. Kejayaannya bergantung pada komitmen, sokongan dan kerjasama sektor awam, swasta dan sukarela.


            Secara kesimpulannya, pada pendapat saya, subjek analisis polisi awam perlu dititikberatkan sebagai subjek khusus bagi setiap institusi pengajin tinggi sebagai salah satu subjek yang wajib dipelajari. Bukan sahaja dalam aspek politik, ekonomi, mahupun sosial tetapi dalam setiap isu yang berlaku di Malaysia. Subjek analisis polisi awam mengajar dan memberi peluang kepada orang awam dalam menilai sesuatu perkara atau isu yang berlaku di Malaysia. Pengetahuan yang ada menjadikan masyarakat semakin bijak dalam memilih pucuk pimpinan kerajaan dan membezakan yang mana baik dan buruk dalam sesuatu perkara sebelum menunding jari ke arah sesiapa. Malah dengan ilmu, masyarakat mampu bersuara lantang mengetengahkan pandangan dan bantahan dalam sama-sama membangunkan Malaysia.      

                                                                                       Disediakan Oleh:
                                                                                      (Wan Zainab Binti Wan Ahmad-P61626)

Monday, 1 October 2012

PERANAN KERAJAAN DALAM MEMPERKASA WANITA


  Penglibatan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara sememangnya tidak dapat dinafikan. Jika dahulu wanita hanya dikaitkan dengan status suri rumah, tetapi segalanya telah berubah seiring dengan 54 tahun kemerdekaan yang dikecapi oleh negara. Isu deskriminasi wanita tidak lagi mencengkam kaum wanita pada hari ini. Wanita mula mongorak langkah mengharungi cabaran untuk memastikan kehadiran dan bakat mereka diiktiraf. Dengan kebanjiran tenaga kerja wanita serta meningkatnya pendapatan dan kekayaan kaum ini, maka peranan wanita semakin bepengaruh baik dalam hal rumah tangga, organisasi, serta negara. Peranan dan sumbangan wanita adalah penting dalam sama-sama berganding bahu dengan kaum lelaki dalam pembangunan negara.

   Sejak kemerdekaan, pemerkasaan kedudukan wanita telah berubah dengan pengenalan dasar yang membolehkan pembabitan mereka dalam kegiatan bersifat ekonomi,sosial dan politik. Dalam tiga tempoh Rancangan Malaysia iaitu RMKe-8, RMKe-9 dan RMKe-10 wanita telah memberikan sumbangan ketara bukan sahaja kepada pembangunan ekonomi malahan kepada pembangunan sosial negara. Dalam tempoh tersebut pelbagai usaha diambil dengan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi memastikan penyertaan wanita lebih berkesan dalam pembangunan negara. Wanita dilengkapkan dengan pakej sesuai supaya mampu bersaing dan serba boleh bagi menghadapi cabaran ekonomi berasaskan pengetahuan.

    Pada tahun 1985, Kerajaan Malaysia telah menyiapkan sebuah Dasar Kebangsaan untuk Wanita sebagai panduan bagi penglibatan para wanita di dalam proses pembangunan. Dasar tersebut boleh membantu meningkatkan taraf kehidupan wanita dengan menangani cabaran-cabaran melalui pendidikan dan penghapusan kemiskinan.  Rancangan-rancangan Malaysia seterusnya masih memberi perhatian kepada keperluan-keperluan wanita dengan cadangan untuk memajukan status mereka di dalam masyarakat. Pada tahun 2001, Kerajaan telah menubuhkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan diberikan mandat untuk mengendalikan isu-isu berkaitan dengan wanita di negara ini. Justeru itu, Perlembangaan Malaysia telah digubal semula pada Ogos 2001 yang melarang sebarang bentuk diskriminasi yang bersaskan gender di dalam mana-mana undang-undang.

   Antara tujuan kerajaan memperkasakan wanita adalah untuk memberi peluang kepada kaum wanita meningkatkan penyertaan dan peranan aktif sebagai penyumbang dan penerima faedah pembangunan negara. Selain itu, tujuannya adalah untuk memelihara hak-hak wanita secara adil dan berkesan. Namun terdapat cabaran-cabaran yang mungkin dihadapi pada masa hadapan yang patut diambil kira termasuklah mengetengahkan isu-isu seperti kemiskinan yang berterusan bagi rumah tangga di mana wanita merupakan ketua keluarga, menentang keganasan terhadap wanita, meningkatkan keberkesanan strategi-strategi yang mengutamakan gender, mengurangkan risiko daripada dijangkiti HIV, menghapuskan halangan-halangan yang disebabkan oleh sikap yang boleh membawa kesan kepada pembinaan kapasiti serta meningkatkan tahap penglibatan wanita di dalam pasaran buruh, perniagaan dan di dalam politik termasuklah kerajaan.  

    Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan untuk memperkasakan wanita di Malaysia, malah Kerajaan juga turut memberi pengiktirafan terhadap kaum wanita antaranya ialah Sambutan Hari Wanita. Sambutan Hari Wanita yang diadakan pada setiap tahun adalah tanda penghargaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap penglibatan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara kita. Di peringkat antarabangsa, pengiktirafan terhadap wanita bermula sejak beberapa persidangan penting khusus bagi kaum wanita yang diadakan dalam dekad 70-an. Persidangan-persidangan tersebut bertujuan untuk menggariskan strategi-strategi yang berkesan bagi meningkatkan dan memperbaiki status wanita dalam masyarakat serta menghapuskan ketidakseimbangan struktur masyarakat yang mengenepikan kepentingan wanita dalam aspek pembangunan.Seterusnya, pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan hak kesaksamaan kepada wanita telah mengukuhkan lagi pengiktirafan Kerajaan terhadap wanita.

    Malah Kerajaan telah mewujudkan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga bertujuan untuk  memastikan hak-hak wanita terbela. Matlamat KPWK adalah membentuk masyarakat yang sejahtera melalui perkongsian tanggungjawab yang strategik dan penyampaian perkhidmatan pembangunan sosial yang cekap dan berkesan. Oleh itu, terdapat beberapa strategi yang telah di bentuk antaranya ialah emastikan perspektif gender, keluarga dan kumpulan masyarakat diintegrasikan dalam penggubalan dasar dan perancangan serta pelaksanaan program. Menyebarkan maklumat mengenai kemudahan dan perkhidmatan yang terdapat di pelbagai agensi dan pertubuhan bagi membantu wanita, keluarga dan masyarakat mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan. Seterusnya, memantapkan penerapan nilai-nilai murni kekeluargaan di kalangan masyarakat melalui kerjasama erat dengan agensi-agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan serta Melaksanakan program penyelidikan dan pembangunan dalam bidang gender, kependudukan, pembangunan keluarga dan masyarakat bagi memperkenalkan pendekatan-pendekatan inovatif dalam perancangan dan pembangunan program.

     Kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan lagi penyertaan wanita di dalam pembangunan secara lebih berkesan, sistematik dan bermakna boleh diperlihatkan melalui beberapa usaha yang dilakukan. Memandangkan bahawa wanita memainkan peranan yang penting di dalam dan di luar rumah serta merupakan sumber ekonomi yang penting, matlamat kerajaan adalah untuk menjadikan wanita sebagai rakan yang sama penting dalam usaha membina negara. Oleh itu, tujuan kerajaan memperkasa wanita adalah perlu untuk mencapai pembangunan sosial, ekonomi dan politik. Sesungguhnya wanita di Malaysia benar-benar dibela, baik dari perspektif undang-undang mahupun aspek-aspek penting lain dalam kehidupan wanita dan kerajaan Malaysia sentiasa memastikan bahawa kedudukan tersebut tidak tergugat.

NIK NOR FARHANIS BT WAN DAUD (P60656)





.

Penambahbaikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025



Penambahbaikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025
Oleh Nyam Kee Han (P64275)

Perdana Menteri YAB Dato Seri Najib Abdul Razak telah melancarkan laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 – 2025 pada 11 September 2012. Perdana Menteri telah merumus bahawa pelan ini adalah bersifat komprehensif dan menyeluruh. Pelan ini boleh dikatakan sebagai satu lagi proses transformasi khususnya kepada pembangunan pendidikan di Malaysia. Secara seluruhannya, pelan ini menggunakan tiga fasa pembangunan, setiap fasa mengambil masa selama 4 tahun, meliputi lima aspek sasaran iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan. Sebelas anjakan yang digariskan oleh kementerian dan berhasrat untuk melahirkan pelajar yang memiliki 4 sifat utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, memimpin dan dwibahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

Mengikut matlamat pelan di atas, dapat melihat dengan jelas motif kerajaan yang bertujuan untuk mentranformasikan pendidikan di negara ini supaya kanak-kanak dapat bersaing dan bersedia bersaing di peringkat global nanti. Berdasarkan pemerhatian, pelan ini adalah bersifat elitisme dan managerislisme. Selain memberi penekanan dalam meningkatkan prestasi kanak-kanak dalam dwibahasa, pelan ini turut memberi penekanan yang agak tinggi kepada kualiti penguruan dan sistem pentadbiran di sekolah. Secara tidak langsung, kanak-kanak yang bakal dihasilkan melalui sistem pendidikan sebegini hanyalah segelintir elit sahaja. Dimana majoriti kanak-kanak akan disingkir secara langsung atau tidak langsung. Dimana mereka inilah yang cenderung melibatkan diri dalam masalah-masalah sosial. Pendidikan sebenar perlu memikir dan memberi penekanan yang lebih tinggi kepada kumpulan tersingkir ini.

Sistem pendidikan sememangnya perlu menanam sifat humanisme kepada generasi muda supaya mereka berupaya memikir isu-isu masyarakat sosial secara sosiologikal sejak sekolah lagi. Setiap hari, masyarakat dapat membaca pelbagai berita tentang kes-kes pembuangan dan pembunuhan bayi diri sendiri, kes rogol, bunuh diri, ‘percintaan’ dalam facebook sehingga mendatangkan malapetaka, penderaan bayi, pembantu rumah serta binatang, penjenayah, penipuan dan lain-lain lagi. Ini sebagai satu tanda bahawa isu-isu masyarakat sosial pada masa kini adalah semakin hari semakin mencabar dan begitu kompleks. Dalam masyarakat moden, generasi muda sekarang adalah jauh berbeza dengan zaman sebelum 70-an. Pada masa itu, walaupun masyarakat telah mengalami perubahan sosial akibat proses pembangunan, namun ia masih tidak sepantas pada zaman ini. Generasi muda sekarang awal-awal lagi telah menerima teknologi ringan mudah alih dan padat dimana mereka dapat menerima maklumat dengan begitu sedang dan cepat sekali melalui telefon bimbit, i-pad, i-phone dan sebagainya. Selain itu, mereka dapat melayani internet melalui perkhidmatan jalur lebar di premis-premis makanan segera, kafeteria dan juga kedai mamak. Tambahan dengan susu tepung yang mengandungi zat yang pelbagai bertujuan untuk membina minda dan otak, membina tulang serta fungsi tubuh yang lain. Jadi tidak hairanlah, anak-anak sekarang yang rata-rata lebih pandai dan mempunyai tubuh badan yang lebih besar. Bayangkanlah kanak-kanak berumur 2 hingga 3 tahun sekarang berupaya memain i-phone.

Oleh sebab kematangan mereka didewasakan sebelum masanya. Maka, mereka lebih cenderung dengan perasaan ingin tahu atau mencuba yang keterlaluan. Sifat itu merupakan salah satu isu yang mendorong mereka melakukan tingkahlaku devian yang melanggar norma nilai sosial masyarakat. Sekiranya permasalahan ini tidak diselesai dengan baik, risiko mereka menjadi penjenayah adalah tinggi sekali. Sebab itulah, pendidikan yang bersifat humanisme sebenarnya perlu dipupuk sejak peringkat awal persekolahan lagi. Pihak yang bertanggungjawab perlu mengunakan ‘kematangan’ mereka ini untuk memberi penekanan yang lebih tinggi dalam memupuk pendidikan yang bersifat humanisme kepada mereka. Tujuan supaya mereka dapat berfikir secara sosiologikal dan membina pemahaman tentang perhubungan mereka dengan institusi sosial seperti keluarga, kejiranan, komuniti, budaya, etniksiti, alam sekitar mahupun haiwan sejak awal sekolah lagi. Sedikit sebanyak dapat membuka minda mereka. Pendidikan tidak patut hanya tertumpu kepada pencapaian yang cemerlang dalam semua subjek mahupun guru-guru yang berkualiti tinggi dalam mengajar semua matapelajaran, tetapi bagaimana melalui pendidikan untuk melahirkan seorang insan yang benar-benar menjiwai tanggungkawabnya untuk mengekalkan perhubungan mereka dalam semua institusi sosial yang dinyatakan diatas.

Bayangkanlah apa yang akan terjadi jika kita sedikit sebanyak mula menekankan sifat-sifat humanisme dan berfikir secara sosiologikal di semua peringkat persekolahan? Adakah dengan cara itu kita dapat melahirkan generasi-generasi yang mempunyai pengetahuan mendalam dalam memahami tanggungjwab mereka dalam semua institusi sosial? Tidak kiralah sama ada pemahaman tentang isu keluarga, kejiranan, komuniti, budaya, etniksiti, alam sekitar mahupun haiwan. Melalui pemahaman yang mendalam, hormat-menghormati sesama masyarakat, komuniti serta alam sekitar dapat dijalinkan dengan erat. Jika semua generasi akan datang dapat berfikiran secara humanisme dan sosiologikal,  usaha ini pasti berupaya menyelesaikan masalah-masalah sosial dengan berkesan.  


OMBUDSMAN: PENAMBAHBAIK

Sebuah negara yang aman, harmoni dan stabil daripada semua aspek seperti ekonomi, pendidikan, sosial, politik dan sebagainya pastinya memiliki sebuah kerajaan dan corak pemerintahan yang bagus. Pemimpin yang berkaliber, amanah, adil dan bijak dalam menguruskan hal ehwal negara merupakan ciri-ciri yang menjadikan negara yang dinyatakan seperti di atas menjadi satu realiti. Tugas yang berat dalam urusan pentadbiran ini bukan hanya terletak dibahu seorang pemimpin sebuah negara itu sahaja sebaliknya tanggungjawab ini turut dipikul bersama para anggota perwakilan dalam melancarkan proses pentadbiran dan pemerintahan.
            Pihak kerajaan atau pemerintah akan melakukan sebaik mungkin dalam pemerintahan untuk memenuhi kehendak rakyat, hal ini kerana pemerintah yang diberi mandat oleh rakyat untuk menjadi ketua negara pastinya dipilih bertujuan membantu dan meringankan beban rakyat. Namun begitu, segala keinginan dan kehendak rakyat ini tidak dapat dipenuhi secara keseluruhannya ekoran pelbagai faktor antaranya ialah sistem pentadbiran yang melihat permasalahan rakyat secara keseluruhan tanpa melihat sesuatu aspek secara berkelompok atau menurut jumlah yang lebih kecil. Hal ini boleh dilihat melalui masalah kemiskinan dikawasan bandar sebagai contoh yang mana wujudnya perumahan setinggan di kawasan kediaman mewah atau kawasan bandar menjadi satu tanda tanya bagaimana perkara sebegini boleh wujud.
            Kerajaan haruslah menangani permasalahan yang timbul dengan menggunakan kaedah yang lebih efektif dengan mewujudkan satu agensi yang bertanggungjawab menerima aduan permasalahan daripada rakyat yang merangkumi pelbagai aspek serta agensi tersebut bertugas sebagai badan perantaraan antara rakyat dan juga pihak kerajaan atau pemerintah. Hal ini boleh dilihat di negara-negara yang mengamalkan sistem ombudsman.
            Ombudsman merupakan satu badan berkecuali yang tidak cenderung kepada mana-mana parti politik dan mempunyai kuasa yang mana ditubuhkan bertujuan menyelidik dan menerima aduan berkenaan masalah yang dihadapi oleh masyarakat atau individu. Setiap aduan akan dijalanakan siasatan dan akan memberi cadangan tindakan kepada pihak berkuasa dalam menangani isu yang dihadapi oleh masyarakat. Aduan berkenaan ketidakcekapan sistem pentadbiran sektor kerajaan dan swasta juga boleh dilakukan. Ombudsman telah banyak dijalankan di 76 buah negara  antaranya negara-negara kesatuan Eropah, Colombia, Costa Rica, German, India, Jepun, Sepanyol, Sri Langka manakala negara di rantau Asia Tenggara yang mengamalkan sistem ombudsman ini antaranya Thailand dan Filipina.
            Ombudsman ini mula diamalkan di negara Sweden namun konsep asal ombudsman diadaptasi daripada pemerintahan kerajaan Islam Turki yang dikenali sebagai konsep Qadi al-Qadat untuk melindungi hak-hak rakyat dan untuk mengelak berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh golongan pemerintah. Walaupun di negara kita wujudnya konsep pengaduan awam yang hampir sama dengan konsep ombudsman iaitu dikenali sebagai Biro Pengaduan Awam namun begitu masih banyak lagi kelemahan yang wujud buktinya  permasalah  bekalan air bersih, pembinaan kediaman terbengkalai, perkhidmatan di sektor awam yang perlahan dan sebagainya yang mana isu ini timbul sudah bertahun-tahun namun masih belum selesai.
            Sekiranya kerajaan negara ini mengamalkan sistem ombudsman ini pastinya masalah yang dihadapi akan boleh dikurangkan ekoran hanya satu sahaja agensi yang bertanggungjawab menerima aduan daripada masyarakat atau individu. Agensi ombudsman ini ditempatkan di setiap bangunan kerajaan atau jabatan kerajaan termasuklah universiti, sekolah, dikawasan yang menjadi tumpuan orang ramai  serta kaedah aduan secara online di portal ombudsman.        
            Ombudsman dijalankan bukanlah bertujuan untuk menampakkan kelemahan pihak pemerintah atau pihak kerajaan sebaliknya sebagai satu agen yang membantu memperbaiki kelemahan yang ada dalam pentadbiran dan menjadikan pentadbiran bertambah cekap. Cetusan idea daripada pihak ombudsman yang menjalankan penyelidikan dalam menyelesaikan masalah masyarakat secara tidak langsung berguna dalam menambahbaik serta mengenalpasti kelemahan yang mungkin terlepas pandang oleh pihak kerajaan. Ahli ombusman terdiri daripada mereka yang pakar dalam bidang masing-masing seperti ekonomi, sosiologi, undang-undang, psikologi dan sebagainya dan mereka merupakan golongan yang tidak menjurus kepada mana-mana parti politik maka masalah yang diadukan oleh masyarakat akan didengar tanpa sebarang pengaruh fahaman politik.
            Diharapkan pihak kerajaan bakal mewujudkan agensi ombudsman ini di negara kita demi menambahbaik sistem pentadbiran negara seiring dengan wawasan negara untuk mencapai negara maju menjelang tahun 2020 yang hanya kurang daripada  8 tahun sahaja lagi.

Nurmahfuzah Binti Razak
P67530